Khamis, 24 Oktober 2019 | 10:45am
Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Darell Leiking.

Malaysia hampiri 10 teratas dalam Laporan Menjalankan Perniagaan

KUALA LUMPUR: Malaysia menduduki tempat ke-12 daripada 190 ekonomi seluruh dunia dalam Laporan Menjalankan Perniagaan Bank Dunia 2020, meningkat daripada tempat ke-15 tahun sebelumnya.

Ini membolehkan Malaysia menghampiri kedudukan 10 negara teratas di dunia dari segi kemudahan untuk menjalankan aktiviti perniagaan di dalam ekonominya.

Kajian Laporan Menjalankan Perniagaan memantau aktiviti perniagaan dalam ekonomi dunia, yang kemudiannya dinilai mengikut skor berdasarkan beberapa petunjuk kuantitatif kawal selia.

Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Darell Leiking, berkata kedudukan ke-12 Malaysia dalam laporan terkini itu adalah susulan kerjasama sektor awam dan swasta.

Lonjakan itu juga, katanya adalah berikutan komitmen kumpulan kerja teknikal di bawah Pasukan Petugas Khas Pemudahcara Perniagaan (PEMUDAH) untuk menambah baik persekitaran mudah menjalankan perniagaan.

“Ini disokong oleh kepimpinan mantap PEMUDAH dan sumbangan khidmat nasihat daripada Kumpulan Bank Dunia.

“Perbadanan Produktiviti Malaysia (MPC) sebagai Sekretariat PEMUDAH bekerjasama rapat dengan kumpulan kerja teknikal bagi memantau dan memulakan pelaksanaan pelbagai inisiatif penambahbaikan,” katanya dalam satu kenyataan.

Darell berkata, prestasi Malaysia yang bertambah baik dalam laporan berkenaan membuktikan bahawa inisiatif pembaharuan yang sedang dijalankan berada dalam landasan yang betul untuk terus meningkatkan daya saing, produktiviti serta tadbir urus menjalankan perniagaan.

Inisiatif terbabit juga, katanya menggalakkan pelaburan, sekali gus mempercepatkan pembangunan dan kemakmuran ekonomi negara.

Laporan Menjalankan Perniagaan Bank Dunia mengukur beberapa kriteria seperti penubuhan perniagaan, mendapatkan permit, memperoleh sambungan tenaga elektrik, pemindahan harta, akses kepada kredit dan melindungi pelabur minoriti.

Ia juga mengambil kira aspek pembayaran cukai, pembabitan dalam perdagangan antarabangsa, menguatkuasakan kontrak dan penyelesaian insolvensi.

Berita Harian X