Khamis, 24 Oktober 2019 | 5:43pm
PENGERUSI PUNB, Datuk Hazimah Zainuddin (kiri) bersama Ketua Pegawai Eksekutif PUNB, Izwan Zainuddin pada majlis pembukaan Simposium Peruncitan Kebangsaan (Spark 2019) di Kuala Lumpur Convention Centre. NSTP/Rohanis Shukri.
PENGERUSI PUNB, Datuk Hazimah Zainuddin (kiri) bersama Ketua Pegawai Eksekutif PUNB, Izwan Zainuddin pada majlis pembukaan Simposium Peruncitan Kebangsaan (Spark 2019) di Kuala Lumpur Convention Centre. NSTP/Rohanis Shukri.

PUNB lulus 75 peratus peruntukan pinjaman Bumiputera

KUALA LUMPUR: Perbadanan Usahawan Nasional Bhd (PUNB) sudah meluluskan 75 peratus pembiayaan daripada dana RM200 juta yang diperuntukkan kepada usahawan Bumiputera setakat ini.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Izwan Zainuddin, berkata daripada jumlah itu, sektor automotif dan makanan dan minuman (F&B) adalah penerima pembiayaan tertinggi daripada PUNB.

Katanya, PUNB yakin mampu menyalurkan sepenuhnya baki 25 peratus peruntukan kepada usahawan yang layak menjelang akhir tahun ini.

“Selain itu, bermula April lalu, PUNB tidak lagi menawarkan pembiayaan mengikut sektor sebelum ini mempunyai lapan jenis skim pinjaman.

“Sebaliknya, ia kini dibuka secara umum, yang mana usahawan boleh membuat permohonan pinjaman secara terus kepada PUNB,” katanya ditemui pada Simposium Peruncitan Kebangsaan (SParK) 2019 di sini, hari ini.

SParK dirasmikan oleh Pengerusi PUNB, Datuk Hazimah Zainuddin.

Simposium yang mula diperkenalkan pada 2013 bertujuan untuk memupuk dan mempertingkatkan pembudayaan keusahawanan dalam kalangan usahawan Bumiputera.

Mengulas lanjut mengenai kaedah pembiayaan baharu itu, Izwan berkata, ia bertujuan memudahkan dan mempercepatkan lagi proses permohonan pinjaman oleh usahawan.

“Kami tidak mahu usahawan terkeliru dengan skim pinjaman yamg berbeza-beza ditawarkan PUNB. Apa yang kita mahu lakukan ialah untuk menyeragamkan semua proses permohonan ini.

“Ini untuk memastikan semua peminjam tidak terkeliru ketika memohon pinjaman dan pada masa sama memudahkan pegawai kita juga.

“Apa yang lebih penting, masa yang diambil untuk memproses permohonan dapat dibuat lebih cepat. Malah, usahawan pun kalau boleh mahu pinjaman mereka diluluskan dengan lebih cepat," katanya.

PUNB sebelum ini menawarkan lapan skim pembiayaan iaitu pinjaman Prosper Teras; Prosper Runcit; Prosper Runcit Trak Bergerak; Prosper Pemborong; Prosper Usahawan Muda; pinjaman usahawan muda budding; pinjaman Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) dan pinjaman hartanah premis perniagaan.

Berita Harian X