Jumaat, 25 Oktober 2019 | 10:49am
KETUA Pemasaran Shopee Malaysia, Lok Weng Lum (tiga dari kanan) menyampaikan replika cek kepada Pengurus Besar MAKNA, Farahida Mohd Farid (tiga dari kiri) pada majlis pelancaran Shopee 11.11 Big Sale bersama National Cancer Council Malaysia (MAKNA) di Kuala Lumpur. Hadir sama Penolong Pengurus Pemasaran Shopee Malaysia, Adrian Leow (kiri), Jasmin Hani (dua dari kiri), Asad Mowtah (dua dari kanan) dan Farahanim Razak. - Foto NSTP/Mustaffa Kamal

Shopee teruskan kempen beli barangan Malaysia

KUALA LUMPUR: Platform e-dagang, Shopee akan meneruskan kempen Beli Barangan Malaysia semasa ‘11.11 Big Sale’ untuk menggalakkan pembelian produk buatan Malaysia sekali gus membantu usahawan tempatan mengembangkan perniagaan.

Pengarah Urusan Serantau Shopee, Ian Ho, berkata semasa Festival Jenama 10.10, pihaknya mencatatkan peningkatan jualan sebanyak 100 peratus serta kenaikan tempahan sebanyak 132 peratus bagi barangan buatan Malaysia.

“Berdasarkan 3,350 unit penyimpanan stok buatan Malaysia diketengahkan di laman koleksi Buatan Malaysia, kami amat yakin kempen ini akan berjaya untuk terus menyokong perusahaan kecil dan sederhana tempatan,” katanya semasa pelancaran ‘11.11 Big Sale’ Shopee di sini, semalam.


11.11 Big Sale kembali dengan kempen kebajikan buat pertama kali, 11.11 Charity Challenge #ShopeeMAKNA bagi mengumpul dana untuk Majlis Kanser Nasional Malaysia.

Beliau berkata, ‘11.11 Big Sale’ yang dinanti-nantikan itu akan kembali dengan kempen kebajikan buat kali pertama, ‘11.11 Charity Challenge’ #ShopeeMAKNA, bertujuan mengumpul dana untuk Majlis Kanser Nasional Malaysia (Makna).

Hasil sumbangan akan disalurkan untuk membiayai rawatan pesakit yang kurang berkemampuan, selain penyelidikan dan perkhidmatan sokongan oleh Makna dalam usaha berterusan badan itu mencari penawarnya.

“Rakyat Malaysia boleh menyumbang menerusi kedai rasmi ShopeeMAKNA di Shopee dengan memilih jumlah yang ingin disumbangkan bermula serendah RM5. Penyumbang layak mendapatkan resit potongan cukai daripada Makna,” katanya.

Shopee juga bekerjasama dengan Pusat Perubatan Sunway untuk menggalakkan rakyat Malaysia menjalani pemeriksaan kanser.

Justeru itu, 300 penyumbang pertama yang menderma RM100 akan menerima ujian darah percuma manakala 50 penyumbang pertama dengan nilai sumbangan RM250 akan menerima pakej mamogram 3D juga secara percuma.

Pengarah Pembangunan Perniagaan dan Komunikasi Korporat Pusat Perubatan Sunway, Dr Michelle Mah, berkata ramai pesakit kanser lewat untuk mendapatkan rawatan.

“Menerusi kerjasama dengan Shopee, kami akan mendidik orang ramai selain mewujudkan kesedaran mengenai pentingnya pengesanan awal bagi hasil rawatan lebih baik,” katanya.

Sementara itu, Pengurus Besar Makna, Farawahida Mohd Farid, berkata 37,000 kes kanser baharu dikesan setiap tahun di Malaysia dan angka itu dianggarkan meningkat kepada lebih 55,000 menjelang 2030.

“Kami gembira apabila mengetahui pembeli boleh melakukan lebih daripada sekadar membeli-belah secara dalam talian dan ini memudahkan mereka yang mahu membantu namun tidak tahu caranya atau ragu-ragu tentang kredibiliti pengumpul dana,” katanya.

Mereka yang berhasrat menyalurkan sumbangan kepada Makna boleh layari https://shopee.com.my/shopeemakna -- BERNAMA

Berita Harian X