Jumaat, 25 Oktober 2019 | 3:58pm
Ahli Ekonomi / Statistik Senior, Bank Dunia, Arvind Jain (dua dari kanan) semasa pelancaran Laporan Doing Business 2020 di Sasana Kijang, hari ini. Turut hadir wakil Kumpulan Bank Dunia (WBG) kepada Pengurus Negara dan Malaysia Dr Firas Raad (kanan), Bank Dunia Analis Viktoriya Ereshchenko (dua dari kiri) dan Bank Dunia Analis Varun Eknath. - Foto BERNAMA
Ahli Ekonomi / Statistik Senior, Bank Dunia, Arvind Jain (dua dari kanan) semasa pelancaran Laporan Doing Business 2020 di Sasana Kijang, hari ini. Turut hadir wakil Kumpulan Bank Dunia (WBG) kepada Pengurus Negara dan Malaysia Dr Firas Raad (kanan), Bank Dunia Analis Viktoriya Ereshchenko (dua dari kiri) dan Bank Dunia Analis Varun Eknath. - Foto BERNAMA

Malaysia berpotensi jadi 10 negara terbaik jalankan perniagaan

KUALA LUMPUR: Malaysia berpotensi berada dalam kedudukan 10 terbaik di dunia dari segi memudahkan urusan menjalankan perniagaan dalam ekonominya dengan mempertingkatkan lagi urusan mendapatkan kredit, menguatkuasakan kontrak dan penyelesaian solvensi.

Ahli Ekonomi Kanan/Pakar Statistik Bank Dunia, Arvind Jain, berkata berdasarkan laporan terkini, pihaknya mendapati tiga aspek itu yang boleh dipertingkatkan lagi pembuat dasar tempatan untuk memudahkan lagi urusan menjalankan perniagaan di negara ini.

Beliau mengakui, pembaharuan yang dilaksanakan Malaysia setakat ini membuahkan hasil apabila negara ini menduduki tempat ke-12 daripada 190 ekonomi seluruh dunia dalam Laporan Menjalankan Perniagaan Bank Dunia 2020, meningkat daripada tempat ke-15 tahun sebelumnya.

“Malaysia bekerja keras untuk mengekalkan kedudukannya dalam 20 terbaik di dunia dari segi kemudahan untuk menjalankan aktiviti perniagaan di dalam ekonominya.

“Kami berharap kemajuan dapat dipertingkatkan lagi dalam urusan mendapatkan kredit, menguatkuasakan kontrak dan penyelesaian solvensi,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media sempena pelancaran Laporan Menjalankan Perniagaan 2020 oleh Bank Dunia, di sini, hari ini.

Hadir sama, Wakil Bank Dunia ke Malaysia dan Pengurus Negara, Dr Firas Raad; Penganalisis Bank Dunia, Viktoriya Ereshchenko dan Penganalisis Bank Dunia, Varun Eknath.

Bank Dunia turut menjangkakan Malaysia akan mencapai peralihan daripada ekonomi berpendapatan pertengahan kepada ekonomi berpendapatan tinggi menjelang 2024.

Bagaimanapun, ia berkata, tinjauan ekonomi Malaysia akan sangat bergantung kepada dasar yang dapat mengekalkan aktiviti sektor swasta dan menggalakkan kewujudan serta daya saing perusahaan kecil dan sederhana (PKS).

Sementara itu, Firas berkata, Malaysia berhak untuk menerima ucapan tahniah dengan mencapai kedudukan yang lebih baik dalam Laporan Menjalankan Perniagaan 2020.

Beliau berkata, kemajuan ketara yang dicatatkan dalam urusan permit pembinaan, mendapatkan bekalan elektrik dan perdagangan merentasi sempadan membantu melonjakkan kedudukan Malaysia untuk berada pada tangga ke-12 terbaik dunia.

Namun, beliau menasihatkan Malaysia supaya tidak terlalu selesa dengan pencapaian yang dicatatkan itu memandangkan negara lain juga berlumba-lumba melaksanakan pembaharuan bagi mempertingkatkan prestasi mereka dalam memudahkan urusan menjalankan perniagaan dalam ekonomi masing-masing.

Justeru, katanya, pencapaian yang dicatatkan negara ini dalam urusan memudahkan perniagaan dijalankan juga adalah bergantung kepada pencapaian negara lain dalam perkara itu.

“Setiap ekonomi sedang melakukan reformasi untuk bergerak ke depan. Oleh itu, kerajaan dan sektor swasta atau pihak berkepentingan perlu memantau prestasi negara lain dan meneruskan momentum,” katanya.

Kabinet Malaysia 2020

Berita Harian X