Selasa, 29 Oktober 2019 | 2:23pm

Wahed Invest pilih Malaysia jadi hab serantau

KUALA LUMPUR: Wahed Invest, penyedia perkhidmatan pengurusan pelaburan patuh syariah digital pertama dunia melebarkan sayapnya ke rantau Asia Pasifik dengan menjadikan Malaysia sebagai hab serantau.

Ketua Asia Pasifik Wahed Inc, Syakir Hashim, berkata syarikat pelaburan patuh syariah berpangkalan di Amerika Syarikat (AS) itu memilih Malaysia berdasarkan kewangan Islam yang kukuh serta rangka kerja yang jelas mengenai pelaburan digital.

“Kewangan Islam adalah satu daripada sektor yang berkembang pantas dunia dan Wahed telah membolehkan komuniti Muslim global untuk menyertai pasaran kewangan global dengan melaksanakan pelaburan boleh diakses dan mematuhi etika,” katanya kepada pemberita selepas pelancaran platform pelaburan itu di sini, hari ini.

Menurutnya, Malaysia juga adalah satu daripada pasaran modal Islam paling maju dan memenuhi keperluan pelabur di Asia Tenggara di samping membantu mewujudkan peluang dalam sektor kewangan Islam.

“Dengan menyediakan kaedah pelaburan baharu dan pintar yang patuh syariah, pelabur kami akan mempunyai akses kepada pengurus pelaburan digital yang mempunyai fi lebih rendah dan akaun yang minimum,” katanya.

Pelaburan dalam platform Wahed bermula serendah RM100 tanpa tempoh berkunci.

Pilihan portfolio pelaburan semasa Wahed termasuk saham AS dan Malaysia, sukuk dan emas.

Menurut Syakir, platform Wahed juga adalah perkhidmatan pengurusan pelaburan digital Islam pertama yang menerima lesen kawal atur daripada Suruhanjaya Sekuriti.

Ia terdapat di lebih 130 negara.

Platform berkenaan turut mempunyai lembaga pengarah untuk memastikan pelaburan 100 peratus patuh syariah serta badan kawal selia patuh syariah seperti Bursa Saham Sekuriti, Pihak Berkuasa Perlakuan Kewangan, Pihak Berkuasa Pasaran Modal Arab Saudi dan Bank Pusat Bahrain sebagai pilihan pelaburan.

“Di platform ini, kami juga akan mengeluarkan penyata zakat pada akhir tahun menerusi pendapatan yang diraih daripada pihak yang melabur,” katanya.

-BERNAMA

Berita Harian X