Rabu, 30 Oktober 2019 | 6:16pm
KETUA Pegawai Eksekutif MARii, Datuk Madani Sahari. - Foto Ahmad Irham Mohd Noor

MARII lancar penyelesaian mantapkan pelaksanaan Industri 4.0

KUALA LUMPUR: Institut Automotif, Robotik dan IoT Malaysia (MARii) hari ini melancarkan penyelesaian pengurusan pengeluaran maju sehenti untuk memacu pelaksanaan Industri 4.0 di negara ini.

Penyelesaian yang dinamakan Platform Teknologi Industry 4WRD (MITP) itu mengesan dan mengumpulkan dengan tepat data masa nyata kitaran pengeluaran yang lengkap, menurut agensi itu dalam kenyataan hari ini.

Ia menawarkan perancangan pengeluaran, pengurusan sumber, analisis prestasi, pengesanan produk dan geneaologi, pelaksanaan proses, pengumpulan data dan pengurusan kualiti menerusi penyelesaian tunggal berasaskan awan bersepadu.

Platform itu juga akan menyediakan maklumat yang membolehkan pembuat keputusan untuk memahami keadaan operasi kilang untuk mengoptimumkan proses pengeluaran.

“Ini akan memanfaatkan pengeluar dengan merangsang kecekapan pengeluaran, kualiti produk dan menambah baik masa maklum balas bagi kawalan kualiti,” kata Ketua Pegawai Eksekutif MARii, Datuk Madani Sahari.

Beliau berkata, satu daripada strategi utama untuk membangunkan keupayaan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) dalam era Industri 4.0 ialah merapatkan jurang PKS untuk mengakses teknologi baharu yang meningkatkan kecerdasan dan produktiviti operasi dalaman mereka.

“Sifat holistik MITP menghasilkan integrasi yang lancar menerusi penyelesaian tunggal untuk memantau dan menganalisis operasi syarikat, membolehkan pemilik dan pengurus perniagaan memberi tumpuan kepada nilai tepat dalam fungsi dan daya saing produk,” katanya.

Madani berkata, PKS juga boleh memanfaatkan teknologi untuk menggunakan teknologi Industri 4.0.

“Selain digunakan dalam sektor automotif dan mobiliti, platform itu juga boleh diguna pakai dalam pelbagai industri termasuk perabot (pembuatan pintar), pembuatan kraftangan dan cenderamata untuk mengoptimumkan kitaran proses dan menawarkan produk yang bernilai tinggi,” katanya.

MITP dilancarkan bersempena Sidang Kemuncak Industry4WRD 2019 hari ini oleh Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Darell Leiking.

–BERNAMA

Berita Harian X