Khamis, 31 Oktober 2019 | 6:06pm
MENTERI Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI), Datuk Darell Leiking. - Foto Saifullizan Tamadi

Industry4WRD enjin penggerak ekonomi digital

KUALA LUMPUR: Dasar Industri 4.0 Nasional (Industry4WRD) 2019 menjadi enjin penggerak dalam memacu industri dan ekonomi digital pada masa depan, dengan memanfaatkan teknologi dan ekonomi yang diterajui inovasi seiring dengan matlamat kerajaan mencapai visi Kemakmuran Bersama dan ekonomi pendapatan tinggi.

Bagi merealisasikan wawasan jangka panjang ini, negara memerlukan usaha bersepadu untuk menerajui teknologi dan inovasi bagi mempengaruhi transformasi ekonomi ini.

Justeru, bagi menggerakkan Industry4WRD, kerajaan menyediakan sebanyak RM43 juta untuk meningkatkan program Dasar Industri 4.0 Nasional (Industry4WRD) sedia ada bagi tahun depan.

Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI), Datuk Darell Leiking, berkata transformasi Industri 4.0 adalah satu perjalanan bukannya destinasi.

“Apa yang kita lakukan ketika ini adalah menyediakan asas kukuh untuk masa hadapan yang lebih baik.

“Kerajaan komited untuk memastikan kadar penembusan teknologi dalam kalangan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) lebih tinggi dan tumpuan masih dalam Penilaian Kesediaan dan Program Intervensi serta pembangunan bakat,” katanya ketika berucap merasmikan Sidang Kemuncak Industry4WRD 2019 di sini, hari ini.

Beliau berkata, pembangunan bakat akan dipergiatkan memandangkan negara sedang menuju ke arah menghasilkan bakat tempatan sendiri.

“Langkah ini akan menyaksikan kami menerajui banyak lagi program untuk meningkatkan penawaran bakat tempatan dengan kemahiran tinggi yang bersedia untuk bekerja dalam persekitaran Industri 4.0, seterusnya mengurangkan kebergantungan sektor pekerja asing,” katanya.

Katanya, Malaysia kini sedang melangkah ke gerbang baharu dalam sektor pembuatan yang mana produktiviti akan dipertingkatkan melalui penggunaan teknologi dan automasi ke arah meningkatkan kerumitan produk.

“Penciptaan teknologi asli juga akan dipergiatkan lagi untuk menjadikannya mudah diakses dan mampu dimiliki oleh PKS.

“Dengan ini, jumlah tambahan juga akan disuntik untuk memperluaskan liputan jalur lebar berkelajuan tinggi di kawasan perindustrian lain yang terpilih.

Justeru, saya ingin menggesa penyedia telekomunikasi tempatan untuk turut menyumbang kepada akses internet dengan melengkapkan liputan terakhir di taman industri terpilih.

“Saya yakin jika industri dan Kerajaan memainkan peranan masing-masing dalam melaksanakan strategi di bawah Industry4WRD, kami akan melihat lebih banyak hasil positif pada tahun akan datang,” katanya.

Berita Harian X