Khamis, 31 Oktober 2019 | 6:34pm

Kerajaan peruntukan RM112 juta pacu Industry4WRD

KUALA LUMPUR: Selepas setahun pelaksanaan Dasar Kebangsaan mengenai Industri 4.0 (Industry4WRD), pelbagai program dan kejayaan telah tercipta.

Sepanjang 2019, kira-kira RM112 juta diperuntukkan bagi pelaksanaan Industry4WRD, termasuk program Penilaian Kesediaan (RA), Program Intervensi RA, Peningkatan Kemudahan menerusi penubuhan Pusat Kecekapan, Skim Latihan Dual Nasional dan program latihan semula dan Jalur Lebar Berkelajuan Tinggi dalam kawasan perindustrian.

Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) menegaskan tumpuan tahun depan masih kepada program RA, Program Intervensi dan pembangunan bakat dengan menyasarkan 450 Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) berkelayakan untuk mendaftar dengan program RA tahun depan.

Tahun ini, MITI menyasarkan 500 PKS berkelayakan untuk menyertai program yang dibiayai oleh kerajaan itu, yang menilai kesediaan firma berkenaan dalam mengguna pakai Industri 4.0.

Setakat ini, 713 permohonan telah diterima dan sebanyak 361 permohonan PKS yang layak telah lulus.

Kira-kira 82 penilaian di lapangan dijalankan sejak Ogos lalu dan proses berkenaan masih dijalankan untuk pemohon lain yang lulus permohonan.

Dengan RA yang dibiayai oleh kerajaan, syarikat boleh memanfaatkan peluang dengan geran sepadan pada nisbah 70:30 yang dihadkan pada RM500,000 di bawah Program Intervensi.

Bagaimanapun, dana ini belum digunapakai oleh mana-mana syarikat berikutan mekanisme pencairan itu masih belum dimuktamadkan.

Justeru, MITI menggesa syarikat yang berkenaan untuk mempercepatkan permohonan kepada Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) sebagai agensi pelaksana program sebaik sahaja pembiayaan ini siap menjelang akhir tahun.

Satu lagi program yang berjaya ialah Program Sijil Profesional yang Dipimpin Industri (IPC) oleh MARii yang dijalankan sejak 2012 dengan tujuan menggantikan pekerja asing dalam industri automotif.

Sehingga kini, lebih 30,000 pelatih sudah lulus dari program ini dan telah mendapat pekerjaan di pasaran.

Sejajar dengan trend teknologi, Program IPC kini berkembang dengan memasukkan modul baru seperti Robotik, Internet untuk Segalanya (IoT), Program, Data Besar menjelang persekitaran pekerjaan Industri 4.0.

Berita Harian X