Jumaat, 1 November 2019 | 2:53pm

Asas sektor pembuatan kembali kukuh

KUALA LUMPUR: Asas aliran sektor pembuatan Malaysia kembali kukuh pada permulaan suku keempat, dengan indeks teras kian meningkat untuk mencatatkan paras tertinggi dalam tempoh enam bulan, menurut IHS Markit Ltd.

Ketua Ahli Perniagaan Ekonominya, Chris Williamson, berkata tanda-tanda sektor pembuatan semakin pulih mula kelihatan pada Oktober, membayangkan kadar pertumbuhan ekonomi akan terus meningkat pada suku keempat.

“Indeks Pengurus Pembelian Pembuatan (PMI) Malaysia IHS Markit menyatakan pertumbuhan pengeluaran yang telah meningkat ke paras tertinggi bagi tahun ini, menunjukkan ekonomi secara menyeluruh berkembang pada kadar tahunan lebih lima peratus,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Beliau berkata, pengeluaran didorong khususnya oleh peningkatan permintaan domestik, tetapi keadaan luaran masih mencabar, sekali lagi menjejaskan pertumbuhan eksport dan meningkatkan kebimbangan mengenai sejauh mana lagi momentum itu boleh berterusan dengan ketiadaan rangsangan ekonomi yang lebih baik.

“Oleh itu, masih terlalu awal untuk menyatakan sektor pembuatan sudah pulih, tetapi kami yakin bahawa pengeluar semakin optimistik dengan prospeknya, iaitu menerusi berita baik bahawa kadar pengambilan pekerja akan meningkat,” katanya.

Menurut kaji selidik dijalankan IHS Markit, teras PMI, iaitu petunjuk satu angka komposit bagi prestasi pembuatan, meningkat kepada 49.3 pada Oktober daripada 47.9 pada September, paras tertinggi dalam tempoh enam bulan dan diunjurkan adalah selaras dengan sejarah purata tertinggi yang pernah dicatatnya

Peningkatan PMI itu dipacu oleh tempahan baharu dan pengeluaran, dengan kedua-dua petunjuk menunjukkan tanda-tanda bertambah baik dan seterusnya mengukuhkan prospek perniagaan manakala pengambilan pekerja meningkat berikutan semakin banyak firma melaporkan pelan pengembangan baharu.

Katanya, responden dalam kaji selidik itu mengaitkan peningkatan permintaan itu dengan pelancaran produk baharu dan aliran kerja baharu lebih kukuh daripada pelanggan sedia ada.

IHS Markit berkata, aliran meningkat dalam petunjuk lain turut dilihat pada permulaan suku keempat dengan data kajian bagi input pembelian, input stok dan inventori barangan siap semuanya bergerak dalam hala tuju positif, selari atau melebihi purata jangka panjang.

“Menurut ulasan panel, syarat pengeluaran lebih tinggi dan peningkatan permintaan telah memberikan lebih banyak dorongan kepada firma untuk meningkatkan tempahan untuk memenuhi peningkatan seterusnya,” katanya.

-BERNAMA

Berita Harian X