Jumaat, 1 November 2019 | 5:14pm
KETUA Pegawai Eksekutif (CEO) GreenTech Malaysia, Shamsul Bahar Mohd Nor
KETUA Pegawai Eksekutif (CEO) GreenTech Malaysia, Shamsul Bahar Mohd Nor

Shamsul Bahar dilantik CEO GreenTech Malaysia

KUALA LUMPUR: Malaysian Green Technology Corporation (GreenTech Malaysia) melantik Shamsul Bahar Mohd Nor sebagai Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) yang baharu berkuat kuasa hari ini.

Menurut agensi itu dalam kenyataannya, Shamsul Bahar akan menerajui agenda perubahan iklim negara dan memacu pembangunan ekonomi mapan.

Dengan pencapaian yang baik selama tiga dekad dalam korporat Malaysia, Shamsul Bahar mewakili gabungan minda saintifik yang dinamik dengan pengetahuan mengenai teknologi dan perniagaan.

Katanya, antara pencapaian utama Shamsul Bahar ialah menguruskan Benchmark International Ltd, Malta untuk menawarkan Bon Hijau patuh syariah kepada teknologi hijau, tenaga boleh baharu dan projek-projek mapan di ASEAN, menunjukkan pendekatan strategik beliau dan pemahaman dalam pembangunan tenaga mapan.

Pada 2014, Shamsul dianugerahkan kelulusan paten di 40 negara untuk sistem tenaga boleh baharu yang menukar sisa plastik kepada Ultra Low Sulphur Diesel Oil (EN590) komersial, dan beliau memenangi Anugerah Inovasi Tahunan MOSTI, Anugerah Pemangkin Malaysian Green Technology Corporation dan Anugerah Inovasi Teknologi Bersih Global Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) untuk Sistem Tenaga Boleh Baharu Teknologi Hijau.

Mengulas mengenai pelantikannya, Shamsul Bahar berkata: "Saya berharap dapat mengetuai pasukan dengan visi dan matlamat untuk mengukuhkan kedudukan Malaysia sebagai negara yang dapat memastikan kemakmuran ekonomi bersama.”

Shamsul Bahar sebelum ini adalah Pengarah Urusan Syngas Renewable Energy dan Pengarah Eksekutif Saham Utama Sdn Bhd.

Sebelum itu, beliau adalah Ketua Pegawai Eksekutif Polymal Corporation, di mana beliau berjaya menjadikan syarikat itu sebagai penggiat utama di Asia Tenggara.

GreenTech Malaysia adalah agensi di bawah Kementerian Tenaga, Sains, Teknologi, Inovasi, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim (MESTECC) bertanggungjawab untuk menerajui teknologi hijau untuk pertumbuhan hijau dan mapan di Malaysia.

-BERNAMA

Berita Harian X