Jumaat, 1 November 2019 | 6:56pm

21 syarikat Malaysia sertai misi halal ke Jepun

KUALA LUMPUR: Sebanyak 21 syarikat Malaysia akan menyertai Misi Peningkatan Eksport (EAM) Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (MATRADE) mengenai produk dan perkhidmatan halal ke Jepun, dari 4 hingga 8 November ini.

Syarikat terbabit adalah pelbagai sektor seperti makanan dan minuman (F&B), kosmetik, farmaseutikal, e-dagang dan logistik patuh Syariah.

MATRADE, yang menerajui inisiatif itu, berkata syarikat yang terpilih adalah mereka yang memenuhi standard dan keperluan tinggi yang ditetapkan untuk pasaran Jepun.

Agensi penggalakan perdagangan itu berusaha untuk meningkatkan kesedaran mengenai produk halal di Jepun dan mewujudkan hubungan perniagaan untuk syarikat Malaysia dengan pembeli dan rakan kongsi di negara itu.

EAM adalah sebahagian daripada inisiatif Rantaian Nilai Halal Perdagangan Digital untuk Sukan Olimpik Tokyo 2020 Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri, yang dilancarkan pada Ogos.

“Inisiatif itu memanfaatkan prospek daripada permintaan tinggi terhadap produk dan perkhidmatan kepada kira-kira lapan juta pengunjung Islam daripada sejumlah 40 juta pelancong dijangka mengunjungi Jepun tahun depan bagi Sukan Olimpik dan Paralimpik Tokyo 2020, yang akan berlangsung dari 24 Julai hingga 9 Ogos,” menurut MATRADE dalam kenyataan, hari ini.

Katanya, inisiatif itu akan membawa Malaysia hampir kepada Global Halal Economy Enabler untuk Sukan Olimpik Tokyo 2020.

Sempena EAM, beberapa program telah disusun seperti pertemuan perniagaan kepada perniagaan, lawatan industri, jualan, sesi rangkaian, taklimat trend media dan seminar.

Antara syarikat Malaysia yang telah mempunyai akses ke pasaran Jepun ialah Golden Fresh Sdn Bhd yang membekalkan produk makanan laut beku; Bangi Golf Resort (membekalkan makanan halal sedia untuk makan yang dibungkus ke restoran dan hotel di Tokyo); Hernan Corporation (durian mochi); Brahim’s Food Japan Co (pengeluar makanan pek retort), Bunga Raya Restaurant (menawarkan masakan asli Malaysia); dan rangkaian restoran halal, Manhattan Fish Market.

Pada masa ini, MATRADE membantu pengeksport ini mempromosikan produk dan perkhidmatan mereka kepada pembeli yang disasarkan di Jepun.

Mengenai masa depan, perbadanan itu berkata, ia akan terus membantu syarikat Malaysia untuk mempromosikan lagi produk dan perkhidmatan halal mereka dengan memudahkan kejayaan penyertaan mereka dalam pameran perdagangan terkenal di seluruh dunia seperti Pameran Halal Antarabangsa Malaysia (MIHAS) MATRADE, FOODEX di Jepun, Gulfood di Dubai dan Anuga di Jerman.

Pada 2018, eksport produk halal Malaysia bernilai RM40 bilion.

Industri F&B menyumbang nilai eksport terbesar sebanyak RM20 bilion, diikuti bahan halal (RM14.5 bilion), produk kosmetik dan penjagaan diri (RM3 bilion) dan derivatif minyak sawit (RM1.8 bilion).

Sementara itu, Jepun adalah destinasi eksport ketiga terbesar Malaysia selepas Singapura dan China, dengan nilai eksport sebanyak RM2.5 bilion.

Eksport utama produk halal Malaysia ke Jepun ialah bahan makanan (RM1.3 bilion), F&B (RM1.0 bilion), kosmetik dan penjagaan diri (RM106 juta), derivatif minyak sawit (RM70 juta), bahan kimia industri (RM29 juta) dan farmaseutikal (RM9 juta).

-BERNAMA

Berita Harian X