Sabtu, 2 November 2019 | 5:26pm

Ringgit dijangka didagang berhati-hati minggu depan

KUALA LUMPUR: Ringgit dijangka didagangkan secara berhati-hati berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) minggu depan menjelang mesyuarat Jawatankuasa Dasar Monetari (MPC) Bank Negara Malaysia (BNM) pada Selasa, mesyuarat terakhir bagi tahun ini.

Maybank Research dalam nota penyelidikannya semalam berkata, ia menjangkakan BNM mengekalkan kadar dasar semalaman (OPR) pada 3.0 peratus.

Ia selepas mengambil kira unjuran pertumbuhan rasmi dan inflasi yang optimis, Belanjawan 2020 yang menyokong pertumbuhan, pelonggaran dalam persekitaran kewangan dan persengketeaan perdagangan AS-China yang semakin reda, katanya.

Penganalisis pasaran FXTM, Han Tan, bersetuju dengan Maybank Research berhubung ramalan OPR.

Beliau berkata: "Walaupun Rizab Persekutuan AS (Fed) memberi isyarat tiada pemotongan kadar faedah pada masa ini, bank pusat global mungkin perlu melancarkan lebih banyak langkah rangsangan sekiranya tekanan ekonomi berterusan pada 2020."

Beliau berkata, pasaran bagaimanapun meramalkan bahawa Jawatankuasa Pasaran Terbuka Persekutuan (FOMC) AS mungkin perlu menyambung semula pelonggaran dasarnya pada Mac 2020, yang mungkin mewujudkan persekitaran dolar AS yang berhati-hati dalam tempoh itu.

"Berhubung kalendar domestik, angka perdagangan luar negara September akan berhadapan tema ketegangan perdagangan global, memandangkan pelabur menanti pemeteraian perjanjian perdagangan ‘fasa satu’ AS-China.

"Selepas penguncupan mengejutkan pada Ogos, eksport Malaysia dijangka kembali ke pertumbuhan pada September," kata Tan kepada BERNAMA.

Ahli strategi pasaran AxiCorp Asia Pasifik, Stephen Innes, berkata ringgit kemungkinan akan didagangkan dalam jajaran 4.15 hingga 4.18 berbanding dolar AS minggu depan terutamanya disebabkan jangkaan keputusan BNM untuk mengekalkan kadar faedah.

Ringgit diniagakan lebih tinggi sepanjang minggu yang baru berakhir di tengah-tengah kelemahan dolar AS yang berterusan.

Ringgit ditutup minggu ini dengan mencatat kenaikan ketara berbanding dolar AS pada 4.1640/1670 berbanding 4.1845/1875 minggu sebelumnya.

Ringgit didagangkan bercampur-campur berbanding sekumpulan mata wang utama lain pada Jumaat.

Pada asas Jumaat ke Jumaat, ringgit menokok berbanding dolar Singapura kepada 3.0649/0683 daripada 3.0692/0725 tetapi susut berbanding yen kepada 3.8538/8569 daripada 3.8506/8548.

Ringgit mengukuh berbanding euro kepada 4.6420/6470 daripada 4.6502/6552 tetapi merosot berbanding pound kepada 5.3915/3963 daripada 5.3716/3768 sebelumnya. - BERNAMA

Kabinet Malaysia 2020

Berita Harian X