Jumaat, 8 November 2019 | 5:59pm
Timbalan Menteri Perdagangan dan Industri Persekutuan Russia, Alexey Gruzdev. - NSTP/Salhani Ibrahim

Russia tinjau jadikan Malaysia hab pelaburan

KUALA LUMPUR: Russia bercadang menjadikan Malaysia sebagai hab pelaburan dalam empat sektor utama bagi meningkatkan hubungan dagang dua hala pada masa depan.

Timbalan Menteri Perdagangan dan Industri Persekutuan Russia, Alexey Gruzdev, berkata kerajaan negara terbabit menerusi kira-kira 40 syarikat dalam bidang khusus iaitu penerbangan awam, pembinaan kapal, industri keretapi dan teknologi digital meninjau potensi pelaburan di Malaysia.

Katanya, penerokaan pasaran Malaysia selaras dengan persekitaran negara ini yang memiliki ekonomi berpotensi berkembang selain menjadi antara peneraju ekonomi di rantau ini.

“Kita akan menjadikan Malaysia dan beberapa negara lain di rantau ASEAN sebagai hab pelaburan. Pemilihan Malaysia berdasarkan keadaan ekonomi dan potensi tenaga kerja berkemahiran tinggi yang dimiliki.

“Sebagai negara membangun, Malaysia menawarkan peluang kepada syarikat Russia untuk mewujudkan kerjasama dengan syarikat di negara ini seterusnya bersama-sama membangunkan industri dengan menggunakan kepakaran yang ada dalam sektor tumpuan kami.

“Mengenai jumlah pelaburan, saya belum dapat menyediakan butiran lanjut, namun jika ia direalisasi, pasti angkanya besar dan memberi manfaat kepada kedua-dua negara. Kita mengharapkan pelaburan pertama mencecah dua angka,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada media selepas menyampai ucaptama dalam Forum Pelaburan Perniagaan dan Perdagangan Russia di sini, hari ini.

Yang turut hadir, Duta Besar Russia ke Malaysia, Valery Yermolov.

Forum Pelaburan Perniagaan dan Perdagangan Russia dianjurkan bersama oleh Institut Kepimpinan dan Strategi Asia (ASLI) dan Dewan Perniagaan Malaysia-Russia (MRBC).

Mengulas lanjut, Gruzdev berkata, Russia akan membawa kepakarannya dalam bidang penerbangan untuk dikembangkan di Malaysia, selain melihat potensi pembangunan awal membabitkan bot laju di Malaysia sebelum beralih kepada kapal bersaiz lebih besar.

“Dalam industri keretapi pula, kita meninjau pembangunan lokomotif di Malaysia dengan merangka pelan landskap terlebih dulu sebelum ia dikembangkan dan membawa masuk lebih banyak pelaburan ke negara ini.

“Dalam bidang digital teknologi, fokus terarah kepada sistem pengangkutan udara dan lapangan terbang selain bidang lain yang boleh dibangunkan untuk memberi manfaatkan kepada kedua-dua negara,” katanya.

Beliau berkata, pembabitan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) turut akan menjadi keutamaan bagi membangunkan apa jua projek di Malaysia selain negara berkenaan juga akan membuka peluang kepada syarikat tempatan meneroka pasaran Russia.

“Tumpuan penting kami adalah PKS. Ini kerana PKS memerlukan sokongan selain sebarang keputusan dapat dibuat dengan pantas berbanding syarikat besar. Untuk membangunkan projek dan penerokaan pasaran Russia, kami akan mengenalpasti PKS yang memiliki daya saing,” katanya.

Tahun lalu, jumlah dagangan Malaysia-Russia mencecah AS$2.7 bilion (RM11.2 bilion).

“Kami menjangkakan nilai dagangan akan melonjak lebih 26 peratus tahun ini,” tambah Gruzdev.

Berita Harian X