Jumaat, 8 November 2019 | 7:09pm

Nilai kekayaan hartawan dunia merosot

ZURICH: Nilai kekayaan individu paling kaya di dunia berkurangan tahun lalu, menurut laporan UBS dan PwC.

Ia berikutan geopolitik dan pasaran saham yang tidak menentu mengurangkan kekayaan hartawan dunia buat kali pertama dalam tempoh sedekad.

Nilai kekayaan jutawan jatuh sebanyak AS$388 bilion (RM1.603 bilion) di seluruh dunia kepada AS$8.539 trilion (RM35.3 trilion), hasil laporan UBS/ PwC, dengan penurunan yang sangat mendadak di China, iaitu negara kedua paling ramai hartawan selepas Amerika Syarikat (AS).

Bank swasta termasuk pengurus kekayaan terbesar di dunia, merasa terkesan dengan ketegangan perdagangan antara AS-China dan ketidaktentuan politik global, apabila tahun lalu pelanggan menjauhkan diri dari perdagangan dan mengambil hutang dengan tujuan untuk simpanan tunai yang lebih banyak.

“Kekayaan hartawan merosot pada 2018 buat kali pertama sejak 2008 kerana geopolitik,” kata Ketua Pelanggan Bernilai UBS , Josef Stadler dalam laporan yang diterbitkan hari ini.

Nilai bersih hartawan paling kaya di China merosot 12.8 peratus dalam dolar berikutan penurunan pasaran saham dan mata wang tempatan yang lemah.

Pertumbuhan ekonomi kedua terbesar dunia itu berkurangan ke tahap paling rendah dalam tempoh tiga dekad pada 2018, sekali gus memberi tekanan kepada berpuluh-puluh individu hartawan.

Di sebalik kejatuhan itu, China terus melahirkan jutawan baharu setiap dua hingga dua setengah hari, kata Stadler.

Di seluruh dunia, bilangan hartawan jatuh kecuali di AS, yang mana usahawan berteknologi terus melonjakkan golongan paling kaya di negara itu.

“Laporan ini menunjukkan daya tahan ekonomi AS yang mana terdapat 749 jutawan pada 2018,” kata Ketua Pengurusan Kekayaan Persendirian dan Perniagaan Bernilai UBS di AS, John Matthews.

Walaupun pemulihan pasaran saham daripada kejatuhan pada akhir 2018 membantu pengurus kekayaan meningkatkan aset mereka, keluarga terkaya dunia masih bimbang dengan isu global daripada ketegangan perdagangan dan Brexit kepada populisme dan perubahan iklim, malah terus menyimpan lebih banyak tunai.

“Kemungkinan besar kekayaan jutawan akan meningkat semula tahun ini,” kata Ketua Pegawai Pelaburan Pelanggan Ultra-Kaya UBS, Simon Smiles. - Reuters

Berita Harian X