Rabu, 13 November 2019 | 11:41am
Harga minyak turun hari ini berikutan prospek suram berhubung perjanjian perdagangan antara Amerika Syarikat dan China.

Harga minyak turun

SINGAPURA: Harga minyak turun hari ini berikutan prospek suram berhubung perjanjian perdagangan antara Amerika Syarikat (AS) dan China memberi kesan kepada tinjauan ekonomi global dan permintaan tenaga.

Presiden Donald Trump berkata kedua-dua negara sudah hampir memuktamadkan perjanjian perdagangan, tetapi beliau gagal menyediakan tarikh atau tempat bagi acara pemeteraian itu, dan ini mengecewakan pelabur.

Niaga hadapan minyak mentah Brent turun 16 sen, atau 0.3 peratus, kepada AS$61.90 satu tong pada 0124 GMT, sementara West Texas Intermediate (WTI) berada pada AS$56.65, turun 15 sen atau 0.3 peratus.

Unjuran Agensi Tenaga Antarabangsa (IEA) bahawa pertumbuhan permintaan minyak global yang lebih perlahan selepas tahun 2025 juga memberi kesan kepada pasaran.

Pertumbuhan permintaan minyak dunia dijangka meningkat sebanyak satu juta tong sehari secara purata hingga 2025 tetapi diramalkan akan menurun kepada purata 100,000 tong sehari selepas itu kerana kecekapan bahan bakar meningkat dan lebih banyak kenderaan elektrik memasuki jalan raya, kata IEA dalam Tinjauan Tenaga Dunia tahunannya untuk tempoh 2040.

Di AS, inventori minyak mentahnya diunjur meningkat bagi minggu ketiga berturut-turut minggu lalu, sementara inventori produk yang ditapis mungkin menurun, demikian menurut tinjauan awal Reuters. - Reuters

Berita Harian X