Rabu, 13 November 2019 | 1:03pm
Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Ong Kian Ming. - NSTP/Khairul Azhar Ahmad

15 negara RCEP mungkin terus rundingan tanpa India

KUALA LUMPUR: Sebanyak 15 Negara Perkongsian Ekonomi Komprehensif Serantau (RCEP) mungkin akan meneruskan perjanjian perdagangan tanpa penyertaan India, kata Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Ong Kian Ming.

Pertemuan ASEAN + 5 di Bangkok baru-baru ini menunjukkan bahawa New Delhi masih mempunyai keraguan besar terhadap RCEP, katanya.

"Pada masa ini, peluang untuk memeterai perjanjian itu agak rendah.

"Bagaimanapun, hakikat bahawa kita boleh membuat kesimpulan substantif pada mesyuarat ASEAN + 5 (China, Jepun, Korea Selatan, Australia dan New Zealand), menunjukkan kita berjaya menghantar mesej penting kepada sistem perdagangan antarabangsa bahawa kita masih meneruskan aturan pelbagai hala untuk memasukkan lebih banyak negara ke dalam perjanjian perdagangan bebas dengan standard yang lebih tinggi, seperti RCEP,” katanya.

Ong berkata demikian kepada pemberita selepas menyampaikan ucaptama pada acara Penyenaraian di Bursa: Membuka Potensi Perniagaan Anda melalui Penyenaraian, di sini hari ini.

Sejak pelancaran RCEP pada 2012, pegawai menjalankan hampir 30 pusingan rundingan sepanjang tujuh tahun lepas.

"Saya harap ada persetujuan yang dicapai.

“Katakan India bersetuju dengan syarat-syarat pada masa depan, saya pasti mereka dialu-alukan untuk turut serta," kata Ong.

India menarik diri daripada perjanjian perdagangan ekoran kebimbangan bahawa kesepakatan itu mungkin menjejaskan industri domestiknya.

Menurut kenyataan bersama pemimpin yang dikeluarkan sempena Sidang Kemuncak RCEP di Bangkok pada 4 November 2019, kumpulan lima negara ASEAN itu memuktamadkan rundingan perjanjian perdagangan terbesar dunia, dengan pemeteraian rasmi dijangkakan pada 2020.

Dianjurkan bersama oleh Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) dan Bursa Malaysia Bhd, acara itu bertujuan menggalakkan syarikat tempatan dengan rekod prestasi cemerlang untuk menyenaraikan syarikat mereka di Bursa Malaysia dalam usaha untuk memacu lebih banyak pertumbuhan pelaburan domestik yang diterajui sektor swasta dalam negara. - BERNAMA

Berita Harian X