Rabu, 13 November 2019 | 2:05pm
Reaksi pekerja bank ketika melihat penunjuk perasaan (kiri) memakai topeng ketika membuat demonstrasi di Hong Kong. - Foto AFP

Bank Hong Kong pesan kakitangan supaya lebih berhati-hati

HONG KONG: Memo keselamatan menjadi sebahagian kehidupan sehari-hari di bank-bank besar di Hong Kong tetapi edisi terbaru menunjukkan tahap amaran yang lebih tinggi ketika mana keganasan semakin meningkat, ada kalanya di jalan-jalan hanya beberapa langkah di luar pintu pejabat.

"Di mana mesyuarat sudah dirancang, pengurus tidak harus teragak-agak untuk membatalkan dan menjadualkan semula bergantung pada perkembangan keadaan," kata BNP Paribas SA kepada kakitangan hari ini.

Seperti yang lain, ia menggesa kakitangan yang bimbang keselamatan perjalanan pulang untuk mempertimbangkan bekerja dari rumah.

Di pejabat utama JPMorgan Chase & Co di Hong Kong, di mana beberapa pertempuran paling buruk minggu ini antara penunjuk perasaan prodemokrasi dan anggota polis yang berlangsung tidak jauh, pekerja diingatkan untuk membuat pengaturan sebaiknya "dalam keadaan yang memerlukan keanjalan (contohnya keperluan keluarga, penutupan sekolah, isu pengangkutan.)"

"Saya mahu memastikan ia difahami dengan baik mengambil kira keadaan," kata Filippo Gori, ketua pegawai eksekutif bank Hong Kong yang berpangkalan di New York, menulis dalam memo itu.

"Terima kasih kerana bekerjasama dan menyokong satu sama lain, dan pelanggan kami, semasa tempoh yang sukar di bandar ini."

Merentas hab kewangan, syarikat-syarikat cuba beroperasi seperti biasa walaupun demonstrasi semakin meningkat sejak seorang pelajar meninggal dunia Jumaat akibat kecederaan yang berlaku berhampiran kawasan tunjuk perasaan.

Cabaran utama bagi banyak kebanyakan bank dan pedagang ialah untuk bekerja seperti biasa, kerana sesetengah sekolah ditutup dan penunjuk perasaan menghalang trafik pada waktu puncak, menutup stesen tren bawah tanah dan menghentikan laluan bas. Mereka yang berjaya melepasinya pula berhadapan gas pemedih mata pada waktu rehat tengah hari dan satu lagi cabaran untuk pulang ke rumah.

HSBC Holdings Plc menggalakkan kakitangan bekerja dari jarak jauh jika mungkin dan terus berhubung dengan pengurus - mesej yang disampaikan oleh yang lain. - Bloomberg

Berita Harian X