Rabu, 13 November 2019 | 3:33pm
Bank Negara Malaysia dijadual mengumumkan prestasi Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Malaysia, Jumaat ini.

Ekonomi suku ketiga dijangka berkembang lebih perlahan

KUALA LUMPUR: Malaysia dijangka mencatatkan pertumbuhan ekonomi lebih perlahan pada suku ketiga, apabila permintaan lemah domestik dan luar negara mula memberi kesan ke atas aktivitinya selepas prestasi mantap pada separuh pertama, demikian mengikut pungutan pendapat oleh Reuters.

Bank Negara Malaysia dijadual mengumumkan prestasi Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Malaysia, Jumaat ini.

Unjuran penengah atau median daripada pungutan pendapat 14 ahli ekonomi menjangkakan pertumbuhan 4.4 peratus bagi tempoh Julai-September berbanding tempoh sama tahun lalu.

Ia lebih perlahan berbanding pertumbuhan 4.9 peratus pada suku kedua dan 4.5 peratus pada suku pertama.

Unjuran secara individu adalah pertumbuhan antara 4.1 peratus hingga 4.7 peratus.

Malaysia adalah satu-satunya negara Asia Tenggara yang mencatatkan pertumbuhan lebih tinggi pada suku kedua lalu berbanding suku sebelumnya, ketika rantau ini berdepan pertumbuhan global yang lemah dan perang perdagangan memuncak antara Amerika Syarikat (AS)-China.

Bagaimanapun, eksport dan perbelanjaan domestik lemah lemah mula memberi kesan ke atas ekonomi ketiga terbesar Asia Tenggara itu sejak beberapa bulan lalu, demikian menurut perunding penyelidik ekonomi, Capital Economics.

“Ekonomi Malaysia mengatasi prestasi seluruh rantau ini bagi hampir keseluruhan tahun, namun data terbaharu membayangkan ia menghampiri pengakhirannya,” kata firma itu dalam nota penyelidikannya, Jumaat lalu.

“Data aktiviti terkini adalah lemah. GDP Tracker, yang berasaskan data bulanan, menunjukkan kelembapan ketara pada suku ketiga,” kata Capital Economics, yang menjangkakan pertumbuhan 4.2 peratus pada suku ketiga.

Eksport Malaysia pada September susut 6.8 peratus, penurunan terbesar dalam tempoh hampir tiga tahun dan melebar daripada penguncupan 0.8 peratus yang dicatatkan bulan sebelumnya.

Output perkilangan berkembang 1.7 peratus pada September, mencatatkan prestasi di bawah jangkaan buat bulan keempat berturut-turut.

Perbelanjaan domestik juga lemah.

Aktiviti pemborongan dan peruncitan mencatatkan pertumbuhan tahunan 5.7 peratus pada suku ketiga, susut daripada 6.1 peratus pada tempoh April hingga Jun, menurut data daripada Jabatan Perangkaan. - Reuters

Berita Harian X