Rabu, 13 November 2019 | 5:34pm
TERESA Kok (dua dari kiri) diberi penerangan Pengarah Urusan Sanyeong Agricultural Solutions Sdn Bhd, Chan Jin Jeff (kiri) semasa melawat pameran di ruang pameran selepas merasmikan 'Global AgriTech Summit' di Bank Rakyat Convention Centre. - Foto NSTP/Mustaffa Kamal

Industri perladangan perlu ubah budaya hadapi IR4.0

KUALA LUMPUR: Industri pertanian dan perladangan perlu mengubah strategi, mentaliti dan budaya untuk kekal kompetitif dalam arus Revolusi Industri 4.0 (IR4.0).

Menteri Industri Utama, Teresa Kok berkata, pihaknya juga akan mengadakan perbincangan dengan kementerian dan agensi berkaitan bagi meningkatkan penggunaan teknologi dalam kalangan pekebun kecil.

Beliau berkata, Malaysia juga memerlukan lebih banyak syarikat memperkenalkan teknologi baharu yang mampu dimiliki dan menawarkan penggunaan yang cekap dan menjimatkan.

“Kementerian akan berbincang dengan beberapa kementerian dan agensi berkaitan bagi memastikan pekebun kecil dapat meningkatkan pendapatan mereka melalui penggunaan teknologi.

“Ini kerana, ketika ini keuntungan pekebun kecil masih rendah, kerana terdapat pelbagai faktor seperti kos operasi dan kewujudan pihak ketiga.

“Saya juga menggesa peserta industri untuk bekerjasama dengan kerajaan dalam membangunkan teknologi baru untuk meningkatkan produktiviti, menggalakkan kemampanan dan mengurangkan kos.

“Kita perlu mewujudkan ekosistem inovatif yang menggalakkan inovasi di kalangan usahawan dan mempercepatkan pengkomersilan penemuan penyelidikan dan pembangunan.

“Kita perlu memastikan bahawa inovasi bukan sahaja kreatif, tetapi juga berpatutan dan berdaya maju untuk meningkatkan daya saing industri,” katanya selepas merasmikan Global Agritech Summit 2019 (GATES) di sini hari ini.

Mengulas lanjut, Kok berkata, apa yang berlaku kini, harga minyak sawit mentah meningkat tetapi pekebun kecil tidak dapat menikmati sepenuhnya kenaikan harga itu disebabkan kos operasi yang agak tinggi selain wujudnya pihak ketiga.

Beliau berkata, sektor kelapa sawit yang menguasai 74 peratus penggunaan tanah pertanian di Malaysia antara yang aktif memperkenalkan teknologi baharu setiap tahun.

Berita Harian X