Rabu, 13 November 2019 | 11:51pm
Menteri Pembangunan Usahawan, Datuk Seri Mohd Redzuan Yusof. - NSTP/Mahzir Mat Isa

6 syarikat peneraju bangunkan 80 vendor

Kuala Lumpur: Kementerian Pembangunan Usahawan (MED) mengenal pasti enam syarikat yang berpotensi untuk menjadi syarikat peneraju di bawah Program Perkongsian Inovasi Vendor (VIP²) dalam usaha merangsang pembangunan industri kecil sederhana (IKS) di negara ini.

Menteri Pembangunan Usahawan, Datuk Seri Mohd Redzuan Yusof, berkata enam syarikat peneraju berkenaan ialah PLUS Malaysia, Cement Industries of Malaysia Bhd (CIMA), UEM Sunrise, UEM Edgenta, Foresight Industries dan Tenggara Nasa.

Menerusi enam syarikat peneraju berkenaan, MED menyasarkan 80 syarikat vendor khususnya akan dibangunkan di bawah enam syarikat peneraju itu.

Setakat ini 21 syarikat peneraju dengan 1,228 syarikat vendor sudah berdaftar di bawah VIP², namun angka ini dilihat sangat kecil.

Kerajaan menyasarkan pemain industri ini untuk turut menjadi jentera pembangunan ekonomi negara dengan mencapai sasaran sumbangan sebanyak 50 peratus kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK).

"Setakat ini sumbangan usahawan IKS dalam pelbagai industri hanya sebanyak 38 peratus saja,” katanya berucap merasmikan Malam Apresiasi VIP², dekat sini, hari ini.

Yang turut hadir Ketua Setiausaha kementerian, Datuk Wan Suraya Wan Mohd Radzi.

Pada majlis itu, sebanyak 14 vendor Bumiputera dinobatkan sebagai Jaguh Nasional dan Jaguh Serantau yang mana mereka dianugerahkan insentif program pembangunan kapasiti Kaizen Japan Study Tour bernilai RM94,000 (Jaguh Serantau) dan RM54,845 (Jaguh Nasional).

Kementerian juga komited dan akan berterusan melaksanakan usaha pembaikan bagi memastikan usahawan tempatan terutama vendor Bumiputera diperkasakan melalui program pembangunan kapasiti termasuklah berkaitan teknologi, inovasi serta akses pasaran.

"Penganjuran VIP² adalah manifestasi MED dalam memperluaskan ekosistem PPV MED melalui pelbagai akses yang disediakan.

"Justeru pengukuhan jalinan kerjasama dan penyertaan usahawan IKS adalah satu daripada komponen penting di bawah Dasar Keusahawan Nasional 2030 serta pemangkin hala tuju sebagai negara keusahawanan unggul menjelang tahun 2030," katanya.

Berita Harian X