Khamis, 14 November 2019 | 9:18am
Ekonomi Jepun berkembang pada kadar paling perlahan dalam tempoh setahun pada suku ketiga. - Foto hiasan

Pertumbuhan ekonomi suku ketiga Jepun terendah dalam 1 tahun

TOKYO: Ekonomi Jepun berkembang pada kadar paling perlahan dalam tempoh setahun pada suku ketiga ketika mana perang perdagangan Amerika Syarikat (AS)-China dan permintaan global yang perlahan memberi kesan kepada eksport, memberi tekanan kepada penggubal dasar untuk meningkatkan rangsangan fiskal dan monetari untuk merancakkan pemulihan.

Pertumbuhan dalam penggunaan swasta juga lebih perlahan berbanding suku sebelumnya, menyebabkan keraguan terhadap pandangan Bank of Japan (BoJ) bahawa permintaan dalam negeri yang teguh akan mengimbangi kesan daripada risiko global.

Ekonomi ketiga terbesar di dunia itu berkembang pada kadar tahunan sebanyak 0.2 peratus pada suku ketiga, jauh lebih perlahan daripada pengembangan 1.8 peratus yang disemak semula pada April-Jun, demikian menurut data keluaran dalam negara kasar (KDNK) awal yang dikeluarkan kerajaan hari ini.

Ia merosot di bawah unjuran median pasaran bagi kenaikan 0.8 peratus dan menandakan pertumbuhan paling lemah sejak penguncupan 2.0 peratus pada Julai-September tahun lalu.

Data yang lemah dijangka akan mendorong penggubal undang-undang untuk meningkatkan perbelanjaan fiskal bagi menyokong ekonomi, yang mana ramai bimbang akan melanda disebabkan kenaikan cukai jualan yang berkuat kuasa Oktober.

Penggunaan swasta meningkat 0.4 peratus pada Julai-September, lebih perlahan daripada kenaikan 0.6 peratus pada suku sebelumnya, data itu menunjukkan.

Perbelanjaan modal naik 0.9 peratus pada suku ketiga, lebih pantas berbanding tempoh tiga bulan sebelumnya.

Pentadbiran Perdana Menteri Shinzo Abe meneruskan kenaikan cukai jualan sebanyak dua kali ganda kepada 10 peratus daripada lapan peratus pada Oktober sebagai sebahagian daripada usaha untuk memperbaiki kewangan Jepun yang lemah. - Reuters

Berita Harian X