Khamis, 14 November 2019 | 10:48am

Jerman di ambang kemelesetan

BERLIN: Jerman bersiap sedia untuk mengetahui sama ada ia tergelincir ke dalam kemelesetan pada suku ketiga ketika mana ketegangan perdagangan memberikan kesan ke atas ekonomi terbesar di Eropah itu, yang mendorong gesaan ke atas kerajaan untuk melonggarkan disiplin belanjawan yang ketat.

Penganalisis yang ditinjau FactSet menjangka penguncupan keluaran dalam negara kasar (KDNK) sebanyak 0.1 peratus.

Menyusuli penguncupan sebanyak 0.1 peratus pada suku kedua, ini bermakna Jerman secara teknikal mengalami kemelesetan ekonomi buat kali pertama dalam tempoh sembilan tahun.

Enjin pertumbuhan utama ekonomi Jerman, iaitu perindustrian, tersedak-sedak ketika ini.

Pada September, pengeluaran industri menguncup 0.6 peratus bulan ke bulan, dengan sektor pembuatan mencatat penurunan ketara sebanyak 1.3 peratus.

Industri Jerman, yang kebanyakannya berorientasikan eksport, mengalami halangan berbulan-bulan lamanya susulan peperangan perdagangan Amerika Syarikat (AS)-China, ancaman Presiden Donald Trump untuk mengenakan duti ke atas kereta yang diimport dari Eropah selain ketidakpastian Brexit.

Kerajaan Jerman menjangkakan pertumbuhan hanya 0.5 peratus tahun ini dan pada bulan lalu menyemak semula unjurannya bagi 2020 kepada pengembangan 1.0 peratus, berbanding unjuran sebelumnya sebanyak 1.5 peratus.

Kebimbangan kemelesetan menghidupkan semula perdebatan di Jerman berhubung sama ada kerajaan sepatutnya berpegang pada peraturan sedia ada untuk memastikan belanjawan seimbang, satu dogma yang dikenali sebagai "sifar hitam".

Peraturan defisit sifar tidaklah mengikat secara perundangan, tidak seperti brek hutang atau ‘debt brake’ yang membolehkan defisit belanjawan persekutuan meningkat sehingga 0.35 peratus daripada KDNK.

Brek hutang direka untuk mengelakkan ketidakseimbangan struktur (kronik) dalam kewangan kerajaan persekutuan dan dengan itu mencegah hutang persekutuan daripada melambung tinggi

Sekumpulan ahli ekonomi ahli pada awal bulan ini menasihati kerajaan Canselor Jerman Angela Merkel untuk melonggarkan dasar tanpa hutang baharu yang tegas itu "dalam kes membabitkan kemelesetan yang mendalam lagi meluas". - AFP

Berita Harian X