Khamis, 14 November 2019 | 11:30am
Keluaran perindustrian China berkembang jauh lebih perlahan daripada jangkaan pada Oktober.

Ekonomi China semakin perlahan

BEIJING: Keluaran perindustrian China berkembang jauh lebih perlahan daripada jangkaan pada Oktober.

Ini susulan kelemahan permintaan global dan domestik, selain kesan perang perdagangan Amerika Syarikat (AS)-China yang tiada kesudahannya, memberi kesan kepada aktiviti ekonomi kedua terbesar di dunia itu.

Pengeluaran perindustrian meningkat 4.7 peratus tahun ke tahun pada Oktober, demikian menurut data Biro Perangkaan Kebangsaan yang dikeluarkan pagi ini.

Ia berada di bawah unjuran median pertumbuhan 5.4 peratus dalam tinjauan Reuters.

Petunjuk menunjukkan sektor lain juga memperlahankan secara ketara dan tersasar daripada unjuran sebelumnya.

Data ekonomi yang mengecewakan menguatkan lagi kes bagi Beijing melancarkan sokongan baharu terhadap ekonomi selepas ekonomi China berkembang pada kadar paling lemah dalam hampir tiga dekad pada suku ketiga ketika mana perang perdagangan dengan AS memberi kesan kepada pengeluaran perkilangan.

Aktiviti sektor perkilangan China kekal lemah dengan data hujung minggu menunjukkan harga di kilang jatuh pada kadar terpantas dalam lebih daripada tiga tahun pada Oktober.

Indeks Pengurus Pembelian (PMI) rasmi China juga menunjukkan aktiviti di sektor perkilangan kekal menguncup bagi bulan keenam berturut-turut pada bulan dikaji.

Perang tarif antara China dan AS sudah melanda permintaan global, mengganggu rantaian bekalan dan pasaran kewangan. - Reuters

Berita Harian X