Khamis, 14 November 2019 | 3:42pm
DONALD Trump

Trump akan putuskan isu tarif kereta import

WASHINGTON: Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump akan membuat keputusan tidak lama lagi sama ada tarif akan dikenakan ke atas kereta dan bahagian kereta yang diimport, lapor agensi berita Korea Selatan, Yonhap.

Trump membuat kenyataan itu kepada pemberita semasa bertemu Presiden Turki di Rumah Putih susulan jangkaan bahawa beliau akan mengumumkan keputusan berkenaan seawal kelmarin ekoran kelewatan enam bulan pada Mei.

Korea Selatan melobi keras untuk mendapatkan pengecualian daripada mana-mana tarif lagi dengan merujuk perjanjian perdagangannya yang dirunding semula dengan AS.

Trump pada Mei lalu mengumumkan bahawa beliau telah mengarahkan wakil perdagangan AS untuk meneruskan rundingan sehingga 180 hari berkaitan kereta import dari Kesatuan Eropah, Jepun dan negara lain yang dianggap perlu.

Beliau berdepan tarikh akhir bagi memutuskan sama ada akan mengenakan tarif sehingga 25 peratus ke atas kereta dan bahagian kereta yang diimport atas alasan keselamatan negara.

Dalam pengumuman itu, Trump juga berkata, beliau bersetuju dengan penemuan Jabatan Perdagangan AS pada Februari bahawa tahap dan persekitaran semasa kereta import "mengancam untuk menjejaskan ... keselamatan negara" seperti yang ditakrifkan dalam Seksyen 232 Akta Pengembangan Perdagangan.

Trump berkata, beliau telah "mempertimbang" rundingan semula perjanjian perdagangan bebas Korea Selatan-AS namun tidak mengecualikan Korea Selatan daripada tarif yang bakal dikenakan pada masa depan.

Korea Selatan bimbang jika ia bakal mengalami kerugian ketara jika AS mengenakan tarif ke atas keretanya kerana industri auto menyumbang sebanyak 14 peratus hasil dan 12 peratus pekerjaan dalam sektor pembuatan negara itu.

Perjanjian perdagangan bebas Korea Selatan-AS yang telah diperbaharui membolehkan pengeluar kereta AS menggandakan eksport mereka ke Korea Selatan di bawah standard AS, dan untuk AS melanjutkan tarif ke atas trak pikap buatan Korea selama 20 tahun, iaitu sehingga 2041.

-BERNAMA

Berita Harian X