Rabu, 20 November 2019 | 4:51pm
MENTERI Hal Ehwal Ekonomi Datuk Seri Mohamed Azmin Ali. - Foto BERNAMA

ECER tarik pelaburan komited RM7 bilion tahun ini

PUTRAJAYA: Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECER) berjaya menarik pelaburan komited berjumlah RM7 bilion daripada 36 projek baharu tahun ini, di sebalik cabaran faktor luaran bagi tahun 2019.

Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali, berkata bagi tempoh sama juga sebanyak 5,700 peluang pekerjaan telah diwujudkan.

“Ini akan mampu merapatkan jurang antara kawasan bandar dan luar bandar,” katanya menerusi ciapan di Twitter hari ini.

Pagi tadi, Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad mempengerusikan mesyuarat Majlis Pembangunan Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECERDC) di sini.

Mohamed Azmin berkata, ECER telah menyaksikan kejayaan pelaksanaan beberapa projek dan program berimpak tinggi yang memberi manfaat kepada rakyat di Kelantan, Terengganu, Pahang dan Johor.

Sehingga kini, lebih 100,000 penduduk tempatan menyertai program pembangunan modal insan ECERDC, di mana hampir 95 peratus daripadanya adalah dalam kalangan masyarakat kategori B40.

“ECERDC mempunyai peranan penting dalam membuka peluang pertumbuhan pantai timur di bawah Rancangan Malaysia Ke-12 (RMKe-12),” katanya.

Jun lalu, Dr Mahathir melancarkan Pelan Induk ECER 2.0 yang menyasarkan nilai pelaburan swasta baharu sebanyak RM70 bilion, 120,000 peluang pekerjaan serta 60,000 peluang keusahawanan untuk rakyat.

Pelan induk dari 2018 hingga 2025 itu bertujuan memacu lonjakan seterusnya pembangunan sosio ekonomi ECER, selain dirangka untuk merapatkan jurang pembangunan dan meningkatkan taraf kehidupan rakyat di wilayah berkenaan.

Dengan tema ‘Lonjakan Seterusnya’, pelan itu menggariskan strategi utama, projek berimpak tinggi dan program inklusif berteraskan rakyat yang akan dilaksanakan di ECER bagi mengekal transformasinya menjadi wilayah yang tersendiri, dinamik dan kompetitif menjelang 2025 dan seterusnya.

Berita Harian X