Khamis, 21 November 2019 | 1:02pm
Teresa Kok menyaksikan pertukaran dokumen perjanjian mengenai reka bentuk kejuruteraan bagi menaik taraf depoh sistem pengadunan biodiesel B20 dan B30 di antara Ketua Pengarah MPOB, Dr Ahmad Parveez Ghulam (kanan) dan Pengarah Urusan Petronas Dagangan Berhad, Datuk Seri Syed Zainal Abidin Syed Mohamad Tahir (kiri) di Kuala Lumpur, hari ini. - Foto BERNAMA

Lima syarikat petroleum naik taraf kemudahan adunan biodiesel B30

KUALA LUMPUR: Menteri Industri Utama, Teresa Kok hari ini menyaksikan pertukaran Memorandum Perjanjian (MoA) antara Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB) dan lima syarikat petroleum.

MoU itu berkaitan reka bentuk kejuruteraan untuk menaik taraf kemudahan pengadunan biodiesel di 35 terminal petroleum di seluruh Malaysia bagi pelaksanaan program naik taraf adunan biodiesel kepada B30.

Lima syarikat petroleum itu ialah Petronas Dagangan Bhd, Shell Malaysia Trading Sdn Bhd, Petron Malaysia Refining and Marketing Sdn Bhd, Chevron Malaysia Ltd dan Boustead Petroleum Marketing Sdn Bhd. Kok berkata, semua syarikat itu bersetuju untuk menjalankan reka bentuk kejuruteraan bagi menaik taraf terminal mereka untuk memenuhi pelaksanaan B30 pada masa akan datang.

Kerajaan bersetuju untuk memperuntukkan maksimum RM35 juta membabitkan 35 terminal untuk menjalankan reka bentuk kejuruteraan menaik taraf depot sesuai dengan pengadunan B20 dan B30, katanya.

Beliau berkata demikian pada majlis pemeteraian MoA itu di Kongres dan Pameran Minyak Sawit Antarabangsa 2019(PIPOC 2019) di sini hari ini.

Kerajaan komited terhadap pelaksanaan B20 dalam sektor pengangkutan.

Pelaksanaan B20 akan dilaksanakan secara berperingkat mulai Januari 2020 dan dijangka selesai pada Jun 2021.

Malaysia memulakan program pelaksanaan B10 untuk sektor pengangkutan sejak 1 Februari 2019.

Pelaksanaannya tidak memerlukan apa-apa kerja naik taraf kerana terminal petroleum sedia ada boleh memenuhi pelaksanaan B10 di seluruh negara.

Kemudahan pengadunan biodiesel kepada B10 di semua 35 terminal di seluruh Malaysia dibiayai Kerajaan melalui Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB).

Setakat November 2019, tiada laporan kerosakan atau masalah dilaporkan dengan penggunaan B10 dalam enjin diesel.

Kok berkata, MPOB menjalankan percubaan dan kajian terhadap penggunaan B20 dalam kenderaan diesel dengan semua kenderaan MPOB dan kenderaan terpilih yang dimiliki majlis perbandaran di Selangor.

Percubaan dengan syarikat pengangkutan seperti FGV Transport Services Sdn Bhd menunjukkan bahawa B20 tidak menunjukkan kesan buruk kepada enjin diesel, katanya.

"Interaksi yang berterusan dan komunikasi dengan pengeluar peralatan tulen (OEM) dan Persatuan Pengeluar Automobil Jepun (JAMA) berhubung penggunaan B20 berjaya meningkatkan lagi keyakinan pengguna untuk menggunakan B20", katanya.

Beliau berkata, Standard Malaysia bagi B20 sedang dimuktamadkan dan disasarkan untuk diterbitkan pada Disember 2019.

B20 yang dibekalkan kepada stesen minyak di seluruh Malaysia akan memenuhi spesifikasi yang ditetapkan dalam Standard Malaysia itu.

Penggunaan biodiesel sawit sebagai bahan api mesra alam dapat membantu mengurangkan pelepasan gas rumah hijau (GHG), kebergantungan kepada bahan api fosil dan menggerakkan Malaysia ke arah masa depan yang lebih mampan untuk generasi akan datang.

Berita Harian X