Jumaat, 22 November 2019 | 4:26pm
PEMANGKU Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Cradle, Razif Abdul Aziz. NSTP/Mohd Yusni Ariffin

Cradle Fund tawar pelbagai geran baharu syarikat teknologi

Cradle Fund Sdn Bhd, akan memberi tumpuan kepada pelbagai penawaran geran baharu, membangunkan ekosistem sokongan untuk bidang teknologi teras dan memperluaskan aktiviti capaian dengan RM20 juta diperuntukkan di bawah Belanjawan 2020.

Pemangku Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulannya, Razif Abdul Aziz, berkata pelbagai geran baharu dengan had dana yang lebih tinggi disediakan untuk memenuhi keperluan kumpulan yang lebih luas.

“Kami akan menyasar kepelbagaian, bukan hanya teknologi digital tetapi juga syarikat pemula niaga daripada sains teras.

“Kami akan menggabungkan dana dengan sokongan nilai tambah kami seperti membimbing dan melatih untuk membantu pengasas dengan proses pembinaan perniagaan serta membina keupayaan untuk meningkatkan daya tahan syarikat pemula niaga,” katanya pada Cradle Startup Awards di Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Cradle, katanya, turut berminat untuk menyertai usaha membangunkan ekosistem sokongan bagi bidang teknologi teras dengan memudahkan pembangunan pelabur budiman, pemodal teroka, pemacu dan syarikat yang berminat untuk melabur atau menyokong inovasi teknologi teras.

“Kami berharap dapat memainkan peranan kami dalam mengurangkan risiko inovasi teknologi teras secukupnya untuk dana swasta.

“Akhir sekali, kami berharap dapat memperluaskan aktiviti capaian kami untuk mencapai kawasan yang kurang mendapat perkhidmatan, sektor dan komuniti untuk mencapai lebih banyak keterangkuman dan kepelbagaian untuk membiayai syarikat pemula niaga yang terbaik,” katanya.

Razif berkata, Cradle sudah memperjuangkan dan membantu program pelaburan syarikat pemula niaga peringkat awal sejak penubuhannya pada 2003.

Sementara itu, Menteri Tenaga, Sains, Teknologi, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim (MESTECC) Yeo Bee Yin menggesa lebih ramai usahawan dari sektor bioteknologi dan teknologi hijau untuk tampil ke hadapan dan mengemukakan idea mereka untuk membantu menangani isu-isu alam sekitar yang dihadapi Malaysia.

“Kita berada dalam persekitaran krisis perubahan iklim dan kita amat memerlukan penyelesaian yang berdaya maju untuk melindungi masa depan kita,” katanya.

Ucapan beliau dibacakan oleh Timbalan Ketua Setiausaha (Sains, Teknologi dan Inovasi), MESTECC, Dr Mohd Nor Azman Hassan. – Bernama

Berita Harian X