Selasa, 26 November 2019 | 11:30am
- Gambar hiasan

Eksport minyak mentah Malaysia ke China meningkat sekali ganda

KUALA LUMPUR: Import minyak mentah Malaysia ke China pada Oktober meningkat sekali ganda berbanding tahun lalu, mencecah 1.95 juta tan.

Penghantaran dari Malaysia, seperti adunan Mal dan adunan Singma, kebiasaannya adalah campuran minyak Venezuela, Iran dan gred lain, demikian menurut laporan Reuters yang memetik Penganalisis Minyak Kanan Refinitiv, Emma Li.

"Import langsung dari Venezuela dipotong kepada sifar tetapi permintaan bagi adunan Mal kekal kukuh, yang dicerminkan oleh angka Malaysia," kata Li.

Pasukan penyelidikan di Refinitiv juga menjangka eksport minyak Malaysia ke China akan mencecah rekod tertinggi susulan sekatan AS ke atas eksport minyak mentah Iran dan Venezuela.

Secara keseluruhan, Arab Saudi kekal pengeksport minyak mentah terbesar ke China.

Import minyak mentah China dari Arab Saudi meningkat 76.3 peratus pada Oktober, didorong permintaan daripada penapisan baharu.

Penghantaran minyak mentah Arab Saudi meningkat kepada 8.41 juta tan, atau 1.98 juta tong sehari, berbanding 1.74 juta tong sehari pada September dan 1.12 juta tong sehari dalam tempoh sama tahun lalu, demikian menurut data daripada Pentadbiran Am Kastam.

Dua loji penapisan bersepadu baharu, Hengli Petrochemical Co di utara dan Zhejiang Petrochemical di selatan, menyokong ketibaan minyak mentah dari Arab Saudi.

Kesan serangan dron dan peluru berpandu ke atas kilang pemprosesan minyak Arab Saudi pada 14 September tidak membatasi aliran minyak pada Oktober, dengan mana Saudi Aramco menggunakan inventori untuk mengekalkan bekalan kepada pelanggan.

Berita Harian X