Rabu, 27 November 2019 | 5:50pm
KETUA Serantau Asia Pasifik Wahed, Syakir Hashim (dua dari kiri) bersama Ketua Pegawai Eksekutif Bank Muamalat, Khairul Kamarudin (dua dari kanan) menyaksikan pertukaran dokumen antara Pengarah Eksekutif Negara, Wahed Invest Malaysia, Mohd Izzat Fadhli Azman (kiri) dan Ketua Bahagian Perbankan Pengguna Bank Muamalat Malaysia Bhd, Zury Rahimee Zainal Abiden di Kuala Lumpur, hari ini. - Foto Hafiz Sohaimi

Bank Muamalat sasar tambahan RM100 juta AUM tahun depan

KUALA LUMPUR: Bank Muamalat Malaysia Bhd menyasarkan untuk meraih dana tambahan aset dibawah pengurusannya (AUM) berjumlah RM100 juta pada tahun depan menerusi kerjasamanya dengan Wahed Invest.

Ketua Bahagian Perbankan Penggunanya, Zury Rahimee Zainal Abiden, berkata ketika ini, Bank Muamalat dan anak syarikatnya, Muamalat Invest Sdn Bhd, menguruskan AUM berjumlah RM3 bilion.

"Dengan kerjasama ini, kita menyasarkan AUM baharu sebanyak RM100 juta dapat diperolehi pada tahun depan," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas majlis menandatangani memorandum persefahaman (MoU) di antara Bank Muamalat dan Wahed di sini, hari ini.

Pada majlis itu Bank Muamalat diwakili oleh Zury Rahimee manakala Wahed oleh Pengarah Eksekutif Negara, Wahed Invest Malaysia, Mohd Izzat Fadhli Azman.

Yang turut hadir Ketua Pegawai Eksekutif Bank Muamalat, Khairul Kamarudin dan Ketua Serantau Asia Pasifik Wahed, Syakir Hashim.

Sementara itu Syakir berkata, kerjasama dengan Bank Muamalat ini membantu syarikat mengukuhkan pertumbuhannya kerana sebagai sebuah jenama baharu di Malaysia, masih ramai orang tidak mengenalinya.

Katanya, pengguna akan mengambil masa untuk membina kepercayaan terhadap syarikat itu dan dengan bekerjasama bersama syarikat bereputasi tinggi dan dipercayai seperti Bank Muamalat mampu mengukuhkan kedudukannya di pasaran.

"Kerjasama dengan Bank Muamalat ini akan membabitkan pemasaran dan kempen interaktif terhadap pelanggan sedia ada atau berpotensi Bank Muamalat untuk melabur dengan kami.

"Kempen yang akan dilakukan pula dibuat secara dalam talian dan luar talian yang mana mungkin ada pengguna yang tidak mempunyai akaun sosial media atau lebih suka untuk bersemuka bagi mendapatkan penerangan lebih jelas mengenai produk kami ini," katanya.

Mengulas lanjut beliau berkata, sejak dilancarkan pada 29 Oktober lalu, pihaknya telah berjaya mendapatkan beribu pelanggan yang menggunakan perkhidmatan platformnya itu.

"Saya tidak boleh mendedahkan jumlah sebenar, tetapi sambutan diterima adalah amat memberangsangkan. Malah, lebih mengejutkan majoriti pelanggan kami adalah dari luar Lembah Klang," katanya.

Pelaburan dalam platform Wahed bermula serendah RM100 tanpa tempoh berkunci.

Pilihan portfolio pelaburan semasa Wahed termasuk saham AS dan Malaysia, sukuk dan emas.

Berita Harian X