Rabu, 27 November 2019 | 6:50pm

MAHB raih untung bersih RM197.87 juta

KUALA LUMPUR: Keuntungan bersih Malaysia Airports Holdings Bhd (MAHB) pada suku ketiga berakhir 30 September 2019 meningkat kepada RM197.87 juta daripada RM168.49 juta dalam tempoh yang sama tahun lalu.

Hasil meningkat 10.2 peratus kepada RM1.35 bilion daripada RM1.23 bilion sebelumnya susulan pertumbuhan penumpang secara menyeluruh sebanyak 6.7 peratus, kata kumpulan itu dalam makluman kepada Bursa Malaysia hari ini.

Penumpang bagi operasi di Malaysia meningkat 8.9 peratus kepada 27.0 juta, manakala penumpang bagi operasi di Turki meningkat 1.0 peratus kepada 9.8 juta.

Secara keseluruhannya, operasi Malaysia mencatatkan hasil sebanyak RM940.3 juta, dengan pertumbuhan sebanyak 6.4 peratus.

Hasil bagi operasi di Turki dan Qatar masing-masing meningkat 21.2 peratus kepada RM374.8 juta dan 9.0 peratus kepada RM40.1 juta.

Bagi tempoh sembilan bulan, untung bersih MAHB susut 27.4 peratus kepada RM507.53 juta daripada RM699.21 juta, manakala perolehan naik 7.5 peratus kepada RM3.87 bilion daripada RM3.60 bilion.

“Keputusan yang positif itu disokong oleh peningkatan dalam operasi lapangan terbang, dipacu oleh pertumbuhan berterusan dalam pergerakan penumpang dan pesawat,” katanya.

MAHB juga menjangkakan jumlah penerbangan yang diunjurkan pada 2019 boleh dicapai berdasarkan faktor purata muatan yang positif pada suku semasa.

“Pemulihan dan penggabungan penerbangan tempatan dijangka diteruskan sehingga suku pertama 2020, manakala sektor antarabangsa akan melihat peningkatan selanjutnya.

“Bagaimanapun, cabaran dan keadaan tidak menentu dijangkakan berterusan dari segi prestasi syarikat penerbangan, persaingan dalam persekitaran tempatan, serta unjuran makroekonomi tempatan dan global,” katanya.

– BERNAMA

Berita Harian X