Rabu, 27 November 2019 | 10:04pm
KETUA Pegawai Eksekutif Malaysian Bioeconomy Development Corporation Sdn Bhd, Dr Mohd Shuhaizam Mohd Zain. - Foto Nurul Shafina Jemenon

PKS boleh pacu potensi Malaysia sebagai hab bioplastik global

KUALA LUMPUR: Perusahaan kecil dan sederhana (PKS) boleh memacu potensi Malaysia sebagai hab bioplastik global, kata Malaysian Bioeconomy Development Corporation Sdn Bhd.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Dr Mohd Shuhaizam Mohd Zain, berkata negara mempunyai dasar, teknologi, pengetahuan, prasarana dan bahan mentah yang diperlukan untuk mewujudkan ekosistem yang dinamik dan kondusif bagi pembangunan bioplastik.

Menurutnya, dasar kerajaan seperti ekonomi sirkular yang difokuskan dalam Rancangan Malaysia Kedua Belas 2021-2025 dan Pelan Hala Tuju Ke Arah Sifar Penggunaan Plastik Sekali Guna 2018-2030 oleh Kementerian Tenaga, Sains, Teknologi, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim (MESTECC) menyediakan sokongan padu kepada industri bioplastik untuk berkembang.

Bagi tujuan ini, katanya, negara jiran seperti Indonesia, Filipina dan Thailand masing-masing adalah pengeluar utama kanji, gula dan biopolimer boleh memanfaatkan teknologi penukaran bioresin yang ada di Malaysia untuk menghasilkan bahan bioplastik.

“Selain itu, tanaman bukan makanan dan produk sampingan pertanian yang banyak seperti sisa buangan minyak sawit boleh menjadi bahan mentah boleh diperbaharui bagi pengeluaran bioplastik.

“Terdapat juga banyak universiti dan institusi penyelidikan tempatan yang menjalankan penyelidikan dan pembangunan (R&D) untuk menukarkan sisa buangan pertanian menjadi biopolimer atau bioplastik,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau berkata, dengan jarak yang dekat antara Malaysia dengan pasaran bioplastik seperti China, Jepun dan Taiwan, negara bersedia untuk menjadi pengeluar utama dan penukar bahan bioplastik.

Untuk menggalakkan PKS mengguna pakai bioplastik dalam perniagaan mereka, Bioeconomy Corporation secara kerjasama dengan MESTECC dan Perbadanan Produktiviti Malaysia (MPC) hari ini mengadakan seminar bertajuk, ‘Membangunkan PKS Industri Bioplastik di Malaysia’, di sini.

Mohd Shuhaizam berharap dapat melihat lebih banyak pertumbuhan PKS tempatan dalam industri bioplastik yang boleh menembusi pasaran hijau sedang pesat membangun dunia dan meningkatkan penerimaan produk bioplastik dalam kalangan pengguna.

“Setakat Mei 2019, Bioeconomy Corporation telah membantu 25 syarikat menerima Pensijilan Label-SIRIM ECO bagi produk mereka yang bertindak sebagai standard bagi pelaksanaan inisiatif bioplastik dan biodegradasi.

“Kami menyasar meningkatkan bilangan syarikat bagi Pensijilan Label-SIRIM ECO sebanyak 50 peratus dalam tempoh dua tahun akan datang dan kami berharap seminar hari ini akan menjadi pemangkin mencapai sasaran ini, selain merangsang pembangunan industri bioplastik di Malaysia,” katanya.

– BERNAMA

Berita Harian X