Isnin, 2 Disember 2019 | 11:48am

Prestasi TH kembali pulih, hibah diunjur lebih baik

KUALA LUMPUR: Prestasi kukuh yang dicatatkan Lembaga Tabung Haji (TH) dalam tempoh sembilan bulan 2019 membuktikan strategi yang dilaksanakan institusi itu membuahkan hasil bagi memantapkan semula kedudukan kewangannya.

Pengurus Pembangunan Perniagaan Putra Business School (PBS), Prof Madya Dr Ahmed Razman Abdul Latiff, berkata strategi yang dilaksanakan TH memang bertepatan dengan suasana sentimen pasaran sekarang kerana majoriti pendapatannya disumbangkan pelaburan aset yang memberi pulangan tetap.

Beliau berkata, pelaburan yang memberi pulangan tetap itu sekali gus mengurangkan risiko terdedah kepada ketidaktentuan harga saham dalam pasaran.

Katanya, prestasi kewangan 2019 akan lebih baik berbanding tahun lalu kerana tahun lalu membabitkan penstrukturan aset yang bertujuan mengurangkan risiko perbelanjaan rosot nilai yang besar terhadap TH.

“Oleh itu, saya yakin hibah untuk tahun ini akan lebih tinggi daripada 1.25 peratus yang diumumkan tahun lalu,” katanya bagi mengulas mengenai prestasi memberangsangkan TH dalam tempoh sembilan bulan 2019.

Sementara itu, Ketua Pakar Ekonomi Bank Islam Malaysia Bhd, Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid, berkata berdasarkan profil pendapatan TH, instrumen pendapatan tetap adalah penyumbang terbesar kepada pendapatan pengurus dana jemaah haji itu.

Beliau berkata, perkara itu menunjukkan bahawa strategi pelaburan TH adalah bersesuaian dengan suasana ekonomi semasa yang tidak menentu, yang mana instrumen pendapatan tetap dapat menghasilkan pulangan pelaburan yang konsisten.

“Di samping itu, lebihan aset yang positif menandakan TH mampu untuk terus memberikan hibah pada 2019 dan mungkin juga hibah yang lebih baik memandangkan lebihan aset adalah melepasi prestasi tahun 2018,” katanya.

TH mencatatkan keuntungan bersih RM500 juta pada suku ketiga 2019, menjadikan keuntungan bagi tempoh sembilan bulan tahun ini meningkat kepada RM1.3 bilion didorong oleh langkah berterusan penjimatan kos pengurusan dan pentadbiran.

TH juga mencatatkan pendapatan RM900 juta pada suku yang sama, menjadikan pendapatan bagi tempoh sembilan bulan 2019 melonjak kepada RM2.1 bilion, yang mana ia dijana daripada pelaburan aset pendapatan tetap (RM1.1 bilion), pelaburan hartanah (RM400 juta), pelaburan ekuiti (RM300 juta) serta pelaburan instrumen pasaran wang Islam (RM300 juta).

Pada 30 September 2019 kedudukan kewangan institusi itu kekal kukuh dengan jumlah aset melebihi jumlah liabiliti sebanyak RM2.3 bilion dengan RM73.4 bilion adalah jumlah aset manakala liabiliti sebanyak RM71.1 bilion.

Berita Harian X