Selasa, 3 Disember 2019 | 1:54pm

Jepun sedia pakej rangsangan ekonomi RM500 bilion

TOKYO: Jepun menyiapkan pakej rangsangan ekonomi bernilai 13 trilion yen (RM500 bilion) bagi menyokong pertumbuhan ekonominya yang rapuh, kata dua pegawai kerajaan yang mempunyai pengetahuan langsung mengenai perkara itu.

Langkah itu dilihat merumitkan lagi usaha kerajaan untuk menyusun kewangan awam.

Perbelanjaan itu akan diumumkan dalam belanjawan tambahan bagi tahun fiskal semasa berakhir Mac dan belanjawan tahunan bagi tahun fiskal akan datang bermula April.

Kedua-dua belanjawan akan digabungkan akhir bulan ini, kata sumber terbabit kepada Reuters, namun enggan dikenali kerana pakej itu belum dimuktamadkan.

Walaupun pakej itu mungkin berjumlah 13 trilion yen, ia boleh meningkat kepada 25 trilion yen (RM960 bilion) apabila sektor swasta dan perbelanjaan lain dimasukkan.

Bagaimanapun, perbelanjaan itu akan menambah lagi beban hutang awam negara perindustrian itu, yang melebihi dua kali ganda saiz ekonominya yang bernilai AS$5 trilion (RM20.8 trilion).

Di sebalik saiz rangsangan itu, perbelanjaan sebenar akan menjadi lebih kecil dalam tahun fiskal semasa, malah ahli ekonomi tidak menjangkakan rangsangan yang besar.

“Kami menjangkakan bajet tambahan tahun fiskal semasa berjumlah sekitar tiga trilion hingga empat trilion yen. Kami tidak menjangkakan ia akan meningkat kadar pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) dengan ketara,” kata Ahli Ekonomi Kanan Dai-ichi Life Research Institute, Takuya Hoshino.

Pakej 13 trilion yen itu termasuk lebih daripada tiga trilion yen daripada pelaburan fiskal dan program pinjaman, kerana kerajaan menyasarkan untuk mengambil peluang daripada kos pinjaman rendah di bawah dasar kadar faedah negatif Bank of Japan (BoJ).

Perbelanjaan langsung kerajaan dijangka mencecah sekitar tujuh hingga lapan trilion yen, kata mereka.

Sumber pembiayaan bagi perbelanjaan besar itu masih belum jelas.

Keputusan akhir mengenai pakej itu akan dibuat seawal Khamis.

-Reuters

Berita Harian X