Selasa, 3 Disember 2019 | 2:29pm
MENTERI Pembangunan Usahawan, Datuk Seri Mohd Redzuan Yusof. - Foto Asyraf Hamzah

RM330 juta untuk usahawan TEKUN Nasional tahun depan

KUALA LUMPUR: TEKUN Nasional menyasar untuk menyalurkan pembiayaan RM330 juta kepada 22,000 usahawan, dengan 18,000 daripadanya adalah usahawan baharu tahun depan.

Menteri Pembangunan Usahawan, Datuk Seri Mohd Redzuan Yusof, berkata, pelbagai inisiatif telah dilaksanakan oleh kerajaan dalam membantu usahawan mikro khususnya B40 dan melalui TEKUN Nasional ia telah dizahirkan sepanjang 20 tahun organisasi itu beroperasi.

Beliau berkata, sehingga kini TEKUN Nasional telah membantu 438,178 usahawan di seluruh Malaysia dengan jumlah pembiayaan sebanyak RM5.67 bilion.

“Daripada jumlah itu, seramai 200,000 usahawan masih aktif membayar balik pembiayaan TEKUN dan berniaga dalam pelbagai sektor perniagaan.

“Pada tahun ini saja sehingga Oktober 2019, TEKUN Nasional telah menyalurkan pembiayaan berjumlah RM346 juta kepada 17,253 orang usahawan di seluruh negara,” katanya pada pada majlis sambutan ulang tahun TEKUN Nasional ke-20 di sini, hari ini.

Hadir sama, Timbalannya, Datuk Wira Dr Mohd Hatta Ramli dan Pengerusi TEKUN Nasional, Datuk Seri Mohamad Suparadi Md Noor.

Sementara itu, Mohd Redzuan berkata kerajaan bersetuju untuk memberi peruntukan tambahan Belanjawan 2020 kepada Kementerian Pembangunan Usahawan (MED) bagi menggerakkan lebih banyak program pembangunan usahawan.

Beliau berkata, peruntukan tambahan itu adalah antara 15 hingga 20 peratus atau RM48.83 juta hingga RM65.1 juta daripada belanjawan pembangunan kementerian itu berjumlah RM325.5 juta untuk tahun depan.

“Kita mengukur dari sudut untuk membangunkan usahawan, justeru apabila ramai memberi pendapat dan maklum balas betapa pentingnya MED mendapat belanja yang lebih supaya dapat melaksanakan program menerusi agensi di bawah kementerian termasuk TEKUN Nasional.

“Justeru, saya ada berbincang dengan Perdana Menteri supaya sedikit pindaan untuk melaksanakan program yang telah dirancang dan beliau bersetuju untuk menambah sedikit (peruntukan dalam belanjawan 2020).

“Peruntukan ini adalah amat bermakna untuk kita salurkan kepada agensi-agensi mengikut merit mereka tersendiri,” katanya.

Dalam Belanjawan 2020, MED menerima peruntukan sebanyak RM539.8 juta dengan RM325.5 juta adalah untuk tujuan pembangunan, manakala selebihnya adalah untuk pengurusan.

Mengulas lanjut, Mohd Redzuan berkata, peruntukan tambahan itu akan disalurkan kepada program-program yang mampu memberi manfaat kepada pembangunan usahawan.

“Contohnya program Tekun Delivery, jika ia tidak mempunyai dana mencukupi untuk menampung permintaan kerana ramai usahawan berminat untuk menyertainya, justeru kita akan menambah dana dalam program ini daripada peruntukan tambahan terbabit,” katanya.

Berita Harian X