Rabu, 4 Disember 2019 | 5:22pm
PEMANGKU Ketua Pegawai Eksekutif, Megat Mohd Yatim Megat Hamid (tengah) pada sidang media mengenai SUPERB 2019 di Petaling Jaya, hari ini.

Teraju sedia geran RM15 juta program SUPERB

PETALING JAYA: Teraju Agenda Bumiputera (Teraju) menyasar untuk mengeluarkan geran bernilai RM15 juta bagi membiayai pemenang program Skim Permulaan Usahawan Bumiputera (SUPERB) edisi ke-14.

Pemangku Ketua Pegawai Eksekutif, Megat Mohd Yatim Megat Hamid, berkata 26 pemenang SUPERB telah dipilih pada tahun ini daripada 1,179 permohonan yang diterima dari seluruh negara.

Beliau berkata, daripada jumlah permohonan yang dihantar, 680 usahawan adalah dari wilayah tengah, 144 (pantai timur), 135 (wilayah utara), 112 permohonan dari zon selatan, 70 (Sabah) dan 38 Sarawak.

Sejak SUPERB diperkenalkan pada 2014, kira-kira 201 usahawan Bumiputera telah dilahirkan di bawah program ini, dengan 60 peratus daripada mereka berjaya mengkomersialkan idea dan produk masing-masing, katanya semasa sidang media mengenai SUPERB 2019 di sini, hari ini.

Sementara itu, beliau berkata, 30 peratus lagi masih dalam proses pembangunan.

Megat Mohd Yatim berkata, Teraju, unit strategik di bawah Kementerian Hal Ehwal Ekonomi, telah mewujudkan program berkonsepkan pembangunan potensi perniagaan bertujuan mengenal pasti pemula niaga Bumiputera muda yang kompetitif dengan idea atau produk inovatif.

SUPERB 2019 menekankan enam tema iaitu ekonomi digital, Revolusi Industri 4.0 (IR4.0), perusahaan sosial dan perkongsian ekonomi, kreatif, industri seni dan kesihatan, inovasi makanan serta perniagaan tani dan berasaskan tani.

Produk yang dibangunkan oleh 26 pemenang itu menumpukan tema berkenaan.

Usahawan yang berjaya juga ditentukan berasaskan kreatif, inovatif dan memiliki pemikiran kritis.

Beliau berkata, mengenai geran itu, usahawan yang berada di peringkat prapengkomersialan akan menerima geran perniagaan bernilai sehingga RM500,000 manakala mereka di peringkat prototaip pula menerima geran pembangunan perniagaan bernilai sehingga RM100,000.

“Pemenang kini menjalani program bimbingan berterusan dan akan dipantau oleh agensi kerjasama Teraju untuk mereka membangunkan idea dan produk masing-masing.

“Tahun depan, kami menjangkakan beberapa usahawan itu akan dapat menjadi peserta pasaran...diharapkan 50 peratus daripada mereka,” katanya.

Pada masa ini, Teraju bekerjasama dengan 10 agensi antaranya Perbadanan Pembangunan Teknologi Malaysia, Cradle Fund Sdn Bhd, Perbadanan Usahawan Nasional Bhd dan Malaysia Digital Economy Corporation Sdn Bhd.

“Berdasarkan Dasar Keusahawanan Nasional 2030, satu daripada bidang ekonomi Aktiviti Pertumbuhan Ekonomi Utama yang kita tekankan ialah IR4.0 dan menerusi SUPERB, kita menyediakan platform untuk semua usahawan yang beraspirasi dan memiliki idea inovatif.

“Jadi, atas faktor itu kami tidak mengehadkan SUPERB mengikut sektor tertentu. Apabila kita bercakap mengenai IR4.0, ia adalah sesuatu yang kita mahu semai dan galakkan...bukan hanya berkaitan aplikasi sahaja malah sebarang idea,” katanya.

Antara pemenang SUPERB 2019 ialah Pandai, aplikasi pendidikan berkualiti diperibadikan; GoFlush Sdn Bhd (pengering tangan dengan panel pengiklanan pintar); Pinjamla, platform peminjaman barangan; Powerwaver, pemaju pengecas bateri menerusi wifi dan Ge Nitrate Solutions, syarikat pengurusan sisa makanan.

-BERNAMA

Berita Harian X