Rabu, 4 Disember 2019 | 9:42pm
Pengasas dan Pengarah Urusan Merchantrade, Ramasamy K Veeran.

Merchantrade terima kelulusan BNM laksana e-KYC

KUALA LUMPUR: Merchantrade Asia Sdn Bhd (Merchantrade), menerima kelulusan Bank Negara Malaysia (BNM) untuk memperkenalkan pemprosesan elektronik Kenali Pelanggan Anda (e-KYC) bagi tukaran wang asing.

Pendaftaran dalam talian e-KYC yang akan mengambil masa kurang lima minit, memberikan pelanggan kemudahan untuk mengakses platform pertukaran pelbagai mata wang, dikenali sebagai e-dompet Merchantrade Money, tanpa perlu ke kaunter fizikal.

Pengasas dan Pengarah Urusan Merchantrade, Ramasamy K Veeran, berkata e-KYC untuk tukaran mata wang adalah satu langkah ke hadapan terhadap digitalisasi perkhidmatan tunai kepada tanpa tunai.

“Industri tukaran wang asing bernilai RM80 juta dan kami berhasrat untuk menerokainya,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Pelanggan secara automatik akan mempunyai akses kepada platform tukaran mata wang digital menerusi e-dompet pelbagai mata wang Merchantrade Money apabila proses pendaftaran selesai.

Menerusi platform ini, pelanggan boleh mengakses sehingga 20 mata wang asing termasuk dollar Amerika Syarikat (AS), dolar Singapura, pound British, dolar Australia, rupiah Indonesia, euro, baht, yen, riyal China, renminbi, dolar Hong Kong, won Korea Selatan dan rupee India secara terus di e-dompet mereka dengan hd tukaran sehingga RM10,000.

Selain itu, platform ini membolehkan pelanggan menetapkan kadar paling murah dan mula menggunakan kad di luar negara dan jika mereka memiliki baki mata wang asing, mereka boleh menjual semula mata wang berkenaan di dalam aplikasi pada bila-bila masa.

Merchantrade Money kini popular dalam kalangan pelancong dan ibu bapa yang mempunyai anak belajar di luar negara apabila pemindahan kad ke kad antara ciri paling popular dalam kalangan pengguna.

-ends-

Berita Harian X