Khamis, 5 Disember 2019 | 3:27pm
PERDANA Menteri Jepun, Shinzo Abe.

Pakej fiskal RM500 bilion rangsang ekonomi Jepun

TOKYO: Jepun mengumumkan pakej fiskal 13 trilion yen (RM500 bilion) bagi menyokong pertumbuhan ekonomi ketiga terbesar dunia itu, di tengah-tengah risiko luar pesisir dan dalam usaha pembuat dasar merangsang aktiviti melangkaui Olimpik Tokyo 2020.

Perdana Menteri, Shinzo Abe mengumumkan pakej itu hari ini, saiz yang dilaporkan sebelum ini.

“Kita berjaya mengumpulkan pakej dasar yang mantap,” kata Abe kepada penggubal undang-undang parti pemerintah dan pegawai kerajaan.

“Ia berasaskan tiga tonggak bagi menjamin pembinaan semula dan keselamatan bencana, menyediakan sokongan bagi mengatasi risiko ekonomi dan mengekalkan kelangsungan ekonomi selepas Olimpik Tokyo,” tambahnya.

Pakej ekonomi berjumlah 25 trilion yen (RM960 bilion) apabila pinjaman kerajaan, jaminan kredit dan perbelanjaan sektor swasta dimasukkan, kata sumber kepada Reuters minggu ini.

Ekonomi Jepun hampir tidak berkembang pada Julai-September apabila kelembapan global menjejaskan eksport.

Jualan runcit juga merosot pada kadar paling pantas dalam tempoh empat setengah tahun Oktober lalu, apabila kenaikan cukai jualan menyebabkan pembeli mengurangkan perbelanjaan.

“Dasar fiskal adalah perkara terbaik untuk dilaksanakan sekarang ini, khususnya kerana tidak banyak peluang besar bagi pergerakan dasar monetari memandangkan tiada ruang buatnya,” kata Ahli Ekonomi Moody's Analytics, Steve Cochrane sebelum pengumuman Abe.

Bagi mengumpulkan pakej itu, kerajaan Jepun yang mempunyai hutang tinggi akan meneroka ruang fiskal yang diperluaskan bagi menangani risiko luar negara dan impak kenaikan cukai jualan.

Pakej 13 trilion yen itu termasuk lebih tiga trilion yen daripada pelaburan fiskal dan program pinjaman, ketika kerajaan mahu mengambil peluang daripada kos pinjaman rendah daripada dasar kaedar faedah negatif oleh bank pusatnya.

Perbelanjaan itu akan dilaksanakan dalam belanjawan tambahan bagi tahun fiskal berakhir dan belanjawan tahunan bagi tahun fiskal akan datang bermula April.

Kedua-duanya akan dikumpulkan akhir bulan ini.

-Reuters

Berita Harian X