Isnin, 9 Disember 2019 | 6:55pm

Dagangan Malaysia-China dijangka cecah rekod tertinggi

KUALA LUMPUR: Perdagangan dua hala Malaysia-China dijangka sekali lagi melepasi paras AS$100 bilion (RM416.10 bilion) tahun ini.

Timbalan Ketua Setiausaha (Dasar dan Strategi Keusahawanan) Kementerian Pembangunan Usahawan, Dr Anis Mahmud, berkata ia disandarkan kepada prestasi cemerlang perdagangan dua hala kedua-dua negara yang sudah pun mencecah AS$89.75 bilion (RM375.02 billion) bagi tempoh sembilan bulan pertama 2019.

Beliau berkata, sebagai perbandingan perdagangan dua hala Malaysia-China mencecah rekod tertinggi sebanyak AS$108.6 bilion pada tahun lalu yang adalah sekitar 683 kali lebih tinggi berbanding AS$159 juta pada 1974, tahun ketika mana kedua-dua negara memulakan hubungan diplomatik secara rasmi.

"Perdagangan Malaysia-China berpotensi melepasi angka tahun lalu bagi mencatat rekod tertinggi baharu tahun ini," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita pada majlis penutup Sidang Kemuncak Perdagangan dan Pelancongan Malaysia-China 2019 di sini hari ini.

Dr Anis berkata, perhubungan Malaysia-China berada di landasan tepat untuk menjadi lebih kukuh pada masa hadapan.

Dalam perkembangan berkaitan, beliau berkata Malaysia boleh menjangkakan kemasukan lebih ramai pelancong dari China ke negara ini tahun depan sempena kempen Tahun Pelancongan Malaysia-China 2020.

Tahun lalu, sebanyak 2.94 juta warga China melancong ke Malaysia, mewakili peningkatan 29 peratus berbanding 2.28 juta pada tahun sebelumnya.

Lebih tiga juta pelancong China dijangka tiba di Malaysia pada 2020.

Berita Harian X