Selasa, 10 Disember 2019 | 8:06am
Kementerian Pembangunan Usahawan (MED) menjalin kerjasama dengan Perbadanan Pembangunan Teknologi Malaysia (MTDC).

MED, MTDC bantu PKS ke arah teknologi digital

BANGI: Kementerian Pembangunan Usahawan (MED) menjalin kerjasama dengan Perbadanan Pembangunan Teknologi Malaysia (MTDC) bagi membantu mempersiapkan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) beralih kepada penggunaan teknologi digital dalam perniagaan.

Ketua Setiausaha MED, Datuk Wan Suraya Wan Md Radi, berkata di bawah Program Pemecut Industri 4.0 MED-MTDC sebanyak 100 syarikat mikro dan PKS bumiputera diberi pendedahan dengan teknologi Industri 4.0 (I4.0) dalam perniagaan melalui penyediaan teknologi dan pementoran.

Menurutnya, program yang dilaksanakan dalam tiga fasa dan berakhir pada Februari tahun depan itu mensasarkan 50 PKS mencapai standard I4.0, iaitu penggunaan automasi dan teknologi yang akan menjadikan mereka lebih berdaya saing mendepani cabaran pasaran ekonomi.

"Adaptasi PKS ke atas teknologi I4.0 akan meningkatkan keupayaan syarikat dalam mendepani cabaran pasaran global tidak kira di pasaran tempatan mahupun antarabangsa," katanya pada sidang media selepas merasmikan program itu, di sini, semalam.

"PKS tempatan kini tidak boleh hanya memfokuskan kepada pemasaran dan pengeluaran bagi pasaran tempatan semata-mata tetapi perlu memastikan produk serta perkhidmatan mampu menembusi pasaran global,” kata Wan Suraya.

Ketua Pegawai Eksekutif MTDC, Datuk Norhalim Yunus, pula berkata pihaknya turut membawakan usahawan yang telah mencapai standard I4.0 bagi berkongsi pengetahuan dengan PKS yang terbabit seterusnya mengenal pasti potensi sedia ada untuk dikembangkan ke tahap lebih tinggi.

Melalui program itu juga, katanya, MTDC akan menyediakan tenaga pakar penyedia solusi industri 4.0 tempatan untuk membantu mengembangkan potensi PKS bagi mempercepatkan pencapaian sasaran pengkomersialan mereka.

"Kita perlu bangunkan usahawan tempatan dalam bidang I4.0 sendiri agar tidak terus bergantung dengan teknologi yang dibawa daripada luar negara," kata Norhalim. - BERNAMA

Berita Harian X