Selasa, 10 Disember 2019 | 5:52pm

Trafik penumpang dijangka meningkat tahun depan

KUALA LUMPUR: Suruhanjaya Penerbangan Malaysia (MAVCOM) mengunjurkan trafik penumpang pada 2020 dijangka meningkat antara 114.9 juta hingga 116 juta penumpang, iaitu pertambahan antara lima peratus hingga enam peratus tahun ke tahun.

Peningkatan itu dijangka didorong oleh Tahun Melawat Malaysia 2020, serta peningkatan kapasiti tempat duduk domestik sebanyak 3.2 peratus tahun ke tahun

MAVCOM dalam kenyataannya berkata, pertumbuhan pada 2020 berkenaan adalah berikutan unjuran MAVCOM pada 2019 yang telah disemak semula kepada antara 109.1 juta hingga 109.7 juta penumpang penerbangan.

“Ia bersamaan pertumbuhan antara 6.4 peratus dan 7.0 peratus tahun ke tahun, manakala pertumbuhan trafik penumpang bagi separuh pertama 2019 ialah 5.2 peratus YoY,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Suruhanjaya berkenaan menerbitkan edisi kelima Laporan Industri dwi-tahunan Waypoint yang mana laporan itu memberi gambaran keseluruhan prestasi industri penerbangan Malaysia bagi separuh pertama 2019 serta hala tuju industri pada 2020.

Menerusi laporan itu, MAVCOM berkata, kapasiti tempat duduk syarikat penerbangan Malaysia dijangka meningkat sebanyak dua peratus pada 2020, berbanding 4.3 peratus pada tahun sebelumnya.

“Lanjutan daripada itu, purata harga tambang syarikat penerbangan dijangka akan kekal atau meningkat sedikit disebabkan peningkatan kapasiti lebih rendah.

“Faktor itu juga mungkin membolehkan syarikat penerbangan tempatan meningkatkan faktor beban mereka,” katanya.

Pengerusi Eksekutif MAVCOM, Dr Nungsari Ahmad Radhi, berkata suruhanjaya mengambil maklum mengenai perkembangan pembangunan hab lapangan terbang alternatif pada 2019 iaitu di Johor Bahru, Kuching, dan Kota Kinabalu.

“Ia selari dengan peruntukan tempat duduk lebih banyak oleh syarikat penerbangan ke lapangan terbang berkenaan yang membolehkan lebih banyak pilihan ke destinasi domestik.

“Peruntukan tempat duduk yang lebih ke destinasi lapangan terbang itu menyokong pertumbuhan domestik pada 2019, dan dijangka berterusan pada 2020, di mana laluan dalam Sabah dan Sarawak akan

mengalami pertumbuhan tertinggi,” katanya.

Pada separuh pertama 2019, Malaysia merekodkan ketibaan pelancong melalui udara sebanyak 4.8 juta dan peningkatan itu terutama disebabkan oleh ketibaan pelancong lebih tinggi dari Indonesia, China, dan Thailand, yang mengimbangi penurunan ketibaan pelancong dari Singapura dan Brunei.

Secara kolektif, kelima-lima negara itu menyumbang kepada 78 peratus daripada jumlah ketibaan pelancong pada separuh pertama 2019.

Menurut laporan itu juga, purata margin keuntungan operasi syarikat penerbangan Malaysia pada separuh pertama 2019, jatuh kepada 0.3 peratus tahun ke tahun kerana peningkatan kos.

Berita Harian X