Rabu, 11 Disember 2019 | 6:03pm

60 peratus muflis adalah golongan muda - Bank Dunia

KUALA LUMPUR: Golongan millennial, yang merujuk kepada golongan muda berumur 25 hingga 44 tahun, di negara ini mencatat peningkatan membimbangkan dalam jumlah individu yang diisytihar muflis, demikian mengikut satu laporan kajian Bank Dunia.

Laporan kajian Pantauan Ekonomi Malaysia Disember 2019 yang diterbitkan Bank Dunia, menganggarkan sejumlah 60 peratus daripada keseluruhan individu muflis di Malaysia adalah dari golongan berkenaan, ekoran daripada tabiat berbelanja melebihi pendapatan.

Tabiat berkenaan disifatkan berbahaya kepada golongan millennial jika dibiarkan berterusan tanpa pengetahuan dan kemahiran pengurusan kewangan.

“Kadar muflis yang tinggi disebabkan membuat pinjaman bagi untuk penggunaan peribadi bukannya untuk pelaburan dan pengumpulan kekayaan. Ini semakin membimbangkan. Ia berlaku dalam kalangan peminjam muda yang mempunyai pengetahuan kewangan yang terhad dan tidak begitu celik kewangan.

“Kegagalan membayar balik pinjaman peribadi dan kenderaan menyumbang hampir separuh daripada jumlah kes muflis dengan terbaharu, 49 peratus pada 2018.

“Jumlah peminjam muflis disebabkan pinjaman peribadi dan kredit kad juga meningkat sebanyak 104 peratus dan 43 peratus, masing-masing pada 2018 berbanding 2012,” kata Bank Dunia dalam kajian berkenaan.

Berdasarkan laporan itu, satu daripada empat isi rumah di Kuala Lumpur memperoleh gaji bulanan kurang daripada anggaran paras kehidupan yang ditetapkan oleh Bank Negara Malaysia (BNM) iaitu RM2,700 bagi individu tidak berkahwin, RM4,500 bagi pasangan tanpa anak dan RM6,500 bagi pasangan dengan dua anak.

Isi rumah dengan pendapatan di bawah paras berkenaan cenderung untuk mengambil pinjaman peribadi dan kad kredit bagi menampung serta meningkatkan standard kehidupan masing-masing.

“Memandangkan proses untuk mendapatkan kredit kad itu lebih mudah, lebih ramai isi rumah yang beralih kepada kad kredit untuk memenuhi keperluan masing-masing.

“Kebanyakannya berhadapan dengan cabaran untuk mengawal perbelanjaan dan pengurusan hutang yang lemah. Walaupun jumlah hutang kad kredit menunjukkan isi rumah menggunakan hutang berkenaan untuk meningkatkan standard hidup mereka dalam jangka pendek, ia juga turut menunjukkan bahawa orang ramai berbelanja melebihi apa yang mereka mampu.

“Menjadi kebiasaan bagi rakyat Malaysia untuk mempunyai lebih daripada satu kad kredit dan ia sebenarnya membuka lebih banyak peluang kepada individu dan isi rumah untuk berbelanja melebihi apa yang mereka mampu,” kata kajian itu.

Data itu turut mendedahkan bahawa isi rumah dengan pendapatan di bawah wang sara hidup juga cenderung untuk mengambil pinjaman peribadi untuk tujuan penggunaan.

“Pinjaman peribadi sering dipilih untuk mengekalkan gaya hidup yang disifatkan sebagai kehendak yang menyediakan penambahbaikan dalam hidup melangkaui aspek asas yang diperlukan untuk terus hidup.

“Daripada pelanggan Agensi Kaunseling dan Pengurusan Kredit (AKPK) yang berpendapatan di bawah RM5,000, sejumlah 32 peratus daripada pinjaman peribadi yang dibuat dibelanjakan untuk barangan kehendak, malah sehingga dua kali ganda lebih banyak daripada yang dibelanjakan untuk barangan keperluan,” katanya.

Berita Harian X