Jumaat, 13 Disember 2019 | 7:47am

MAVCOM boleh beroperasi 6 bulan lagi - Loke

SEPANG: Suruhanjaya Penerbangan Malaysia (MAVCOM) masih boleh beroperasi secara berasingan bagi tempoh sekurang-kurangnya enam bulan lagi sebelum penggabungannya dengan Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM).

Menteri Pengangkutan Anthony Loke Siew Fook, berkata ia akan mengambil masa beberapa bulan bagi kerajaan untuk memansuh dan meminda beberapa undang-undang, membincangkan tentang struktur dan bagaimana memindahkan peranan Mavcom kepada CAAM.

"MAVCOM masih boleh beroperasi seperti biasa sehingga kami memansuhkan Akta Suruhanjaya Penerbangan Malaysia 2015 di Parlimen dan sehingga saya memuktamadkan secara rasmi MAVCOM tidak lagi beroperasi.

“Dalam tempoh beberapa bulan akan datang, kakitangan akan tetap datang ke pejabat, kita akan membayar gaji mereka seperti biasa,” katanya sambil menambah kebajikan 59 kakitangan MAVCOM akan dijaga.

Bercakap kepada media selepas pelancaran Hab Kargo Udara GTR di sini, semalam, Loke berkata penggabungan itu akan menjadikan badan kawal selia Malaysia lebih cekap serta dapat mengurangkan kerenah birokrasi.

"Sekarang ini kita ada dua pengawal selia. Jika mana-mana syarikat penerbangan, syarikat kargo udara atau syarikat pengendalian darat mahu mendapatkan lesen untuk beroperasi, mereka perlu mendapatkan kelulusan daripada CAAM dan kemudiannya perlu pergi kepada Mavcom untuk kelulusan lain.

“Jadi kami fikir ini adalah satu lapisan birokrasi yang kami mahu hapuskan dan kami mahu mentransformasikan dan memperkasakan CAAM," katanya.

Loke yang diminta mengulas kenyataan Pengerusi Eksekutif MAVCOM, Dr Nungsari Ahmad Radhi, yang merasa kecewa dengan keputusan kerajaan berhubung penggabungan itu, berkata, beliau terkejut dengan reaksi Nungsari itu.

"Itu adalah keputusan Kabinet dan saya terkejut yang beliau merasa kecewa.

"Setelah mendapat kelulusan daripada Kabinet semalam, saya mengarahkan ketua setiausaha saya untuk memaklumkan kepada MAVCOM dan membentuk satu jawatankuasa kecil atau pasukan petugas khas untuk melihat kepada pelbagai isu dari segi penggabungan, seperti kebajikan kakitangan dan jawatan, dan perbincangan itu akan mengambil masa sekurang-kurangnya beberapa bulan.

"Maka ia bukan seolah-olah kita tidak berbincang dengan MAVCOM," katanya.

MAVCOM adalah badan bebas ditubuhkan pada 1 Mac 2016, di bawah Akta Suruhanjaya Penerbangan Malaysia 2015 bagi mengawal selia hal ehwal ekonomi dan komersial berkaitan dengan penerbangan awam.

Matlamat suruhanjaya itu adalah untuk menggalakkan industri yang berdaya maju dari segi komersial, berorientasikan pengguna dan berdaya tahan yang menyokong pertumbuhan ekonomi negara. -BERNAMA

Berita Harian X