Jumaat, 13 Disember 2019 | 10:36am

Pound British melonjak tertinggi 19 bulan

LONDON: Pound Britain melonjak ke paras tertinggi 19 bulan susulan Parti Konservatif pimpinan Perdana Menteri Boris Johnson dijangka menang besar kerusi parlimen, sekali gus memudahkan laluan bagi negara itu keluar dari Kesatuan Eropah (EU).

Kenaikan dramatik pound sterling menyaksikan ia mencecah paras tertinggi 19 bulan berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) dan di paras terkuatnya berbanding euro sejak referendum Brexit 2016.

Ia menokok 2.5 peratus berbanding dolar AS dan meletakkannya di laluan kukuh untuk mencatat kenaikan harian terbesar sejak 1990an.

Tinjauan pengundian menunjukkan Parti Konservatif pimpinan Johnson akan memenangi 368 kerusi dalam 650 kerusi parlimen, kemenangan terbesar sejak kejayaan Margaret Thatcher pada 1987.

Johnson dijangka meratifikasi Brexit yang dipersetujuinya dengan EU sebelum ini bagi membolehkan United Kingdom meninggalkan kesatuan itu pada 31 Januari depan.

Pound melonjak 2.5 peratus kepada AS$1.3516 - tertinggi sejak Mei 2018.

Ia ditutup pada AS$1.3459.

Berbanding euro, pound sterling meningkat kepada 82.80 pence, naik dua peratus, meletakkan pound pada tahap terakhir yang dilihat pada Julai 2016, sejurus selepas referendum Brexit.

Pound diniagakan sekitar 76 pence berbanding euro sebelum undi Brexit pada Jun 2016. - Reuters

Berita Harian X