Rabu, 18 Disember 2019 | 4:51pm
Harga sawit, minyak boleh dimakan yang paling banyak digunakan di dunia, dilihat kembali pulih. - Foto hiasan
Harga sawit, minyak boleh dimakan yang paling banyak digunakan di dunia, dilihat kembali pulih. - Foto hiasan

Kenaikan harga sawit dijangka berterusan

KUALA LUMPUR: Harga sawit, minyak boleh dimakan yang paling banyak digunakan di dunia, dilihat kembali pulih.

Hanya lima bulan lalu, niaga hadapan penanda arasnya di Malaysia berada pada paras terendah dalam tempoh empat tahun kerana pelabur bimbang dengan jumlah simpanan yang tinggi, permintaan lemah daripada pembeli utamanya iaitu India dan China, selain sekatan Eropah yang mengaitkan sawit kepada kemusnahan alam sekitar.

Oktober lalu, konflik perdagangan mula terjadi antara Malaysia dan India yang mempengaruhi harga dan jualan minyak sawit.

Namun, semuanya berubah di persidangan industri di Bali, Indonesia baru-baru ini apabila penganalisis memberi amaran bahawa cuaca kering dan jerebu akan mempengaruhi pengeluaran.

Indonesia pula memberi tumpuan kepada pelaksanaan program biofuel, yang menjadikan negara itu sebagai pengguna dan pembekal minyak sawit terbesar di dunia.

Perkara itu mencetuskan harga yang lebih tinggi, memanjangkan rali dari Julai yang rendah sebanyak 50 peratus kepada lebih daripada RM2,900 satu tan dan meletakkan pasaran dalam landasan untuk memperoleh keuntungan tahunan 35 peratus, sekali gus prestasi terbaik dalam hampir sedekad.

Kebanyakan peserta industri melihat kepada harga minyak yang digunakan dalam pelbagai produk seperti coklat, syampu dan bahan bakar bio, akan kekal pada tahap tinggi pada 2020.

Penanda aras niaga hadapan berada pada purata RM2,600 satu tan, tertinggi dalam tiga tahun, berdasarkan median 25 anggaran kajian Bloomberg berbanding purata RM2,240 tahun ini.

“Pengeluaran yang lebih rendah dalam kalangan negara pengeluar, meningkatkan mandat biodiesel dan permintaan makanan yang mantap akan menjadi pemacu harga utama tahun depan," kata Ketua Penyelidik Sunvin Group, Anilkumar Bagani. - Bloomberg

Berita Harian X