Khamis, 19 Disember 2019 | 9:06am

Nadicorp, firma Turki bekerjasama hasilkan kenderaan khas

KUALA LUMPUR: Nadicorp Holdings Sdn Bhd memeterai Memorandum Persefahaman (MoU) dengan firma Turki, Nurol Makina membabitkan kerjasama jangka panjang bagi membantu pengeluaran kenderaan khas bersertakan teknologi kereta perisai dan pemindahannya.

Syarikat Nadicorp Holdings adalah antara konglomerat Bumiputera terbesar milik persendirian dan dikuasai oleh Tan Sri Mohd Nadzmi Mohd Salleh yang berperanan sebagai pengerusi eksekutif kumpulan manakala Nurol Makina adalah anak syarikat Nurol Holding Inc dari Turki dan khusus dalam ketenteraan darat serta kereta perisai.

"Kami bekerjasama erat dengan Nurol Makina sejak beberapa lama dan telah mendapat kepercayaan serta keyakinan untuk menjadi rakan kerjasama mereka. Pengalaman luas saya dalam industri automotif misalnya akan dapat memberi manfaat bagi membangunkan industri dan perniagaan berkaitan," kata Mohd Nadzmi dalam satu kenyataan di sini.

MoU itu dimeterai Mohd Nadzmi manakala Nurol Makina diwakili Ketua Pegawai Eksekutifnya Engin Aykol selain disaksikan Ahli Lembaga Pengarah Nurol Holding, Gurol Carmikli.

Pada masa ini, Nadicorp Holdings menumpukan dalam bidang pembuatan, pembinaan dan pemasangan koc, kenderaan khas, penyelenggaraan dan baik pulih kenderaan komersial selain operasi pengangkutan awam dan logistik.

Sehubungan itu, kerjasama itu akan dapat meningkatkan keupayaan sedia ada syarikat itu dalam pembuatan dan pengeluaran semula pengangkutan darat yang strategik dan kereta perisai.

Berita Harian X