Ahad, 22 Disember 2019 | 6:43pm
Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC), Surina Shukri. - NSTP/Nurul Shafina Jemenon
Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC), Surina Shukri. - NSTP/Nurul Shafina Jemenon

eUsahawan jana jualan RM668 juta

KUALA LUMPUR: Program eUsahawan Hero Muda yang dilaksanakan sejak 2015 membabitkan 328,948 usahawan di seluruh negara meraih nilai jualan mencecah RM668 juta.

Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC), Surina Shukri, berkata program hasil inisiatif MDEC dan Kementerian Belia dan Sukan (KBS) merangkumi ekosistem perniagaan kecil dan sederhana itu berjaya menarik penyertaan kira-kira 70 peratus usahawan belia dan 65 peratus golongan wanita.

“eUsahawan atau perniagaan secara digital ini memberi tumpuan kepada perniagaan berasaskan pengguna di mana sektor yang menjadi fokus adalah makanan dan minuman (F&B), gaya hidup, penjagaan kesihatan, fesyen dan perkhidmatan.

“Kita melihat kemampuan dan keupayaan perniagaan maya ini yang berjaya memanfaatkan platform aplikasi sosial termasuk Facebook, Instagram dan Whatsapp yang mana memacu perniagaan kecil dan sederhana berkembang ke peringkat global.

“Daripada jumlah hampir 329,000 usahawan yang menyertai program ini, hanya 38 peratus menyerahkan rekod jualan kepada kita. Tiada paksaan daripada pihak kami. Namun, jika semua berbuat demikian (menyerahkan rekod jualan) pasti jumlah jualan yang kita peroleh adalah lebih besar,” katanya kepada media selepas menyertai Sidang Kemuncak Hero Muda 2019 di Kuala Lumpur, semalam.

Yang turut hadir Bekas Pengerusi Majlis Penasihat Kerajaan (CEP), Tun Daim Zainuddin; Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman; dan Pengarah Facebook Malaysia, Nicole Tan.

Mengulas lanjut, Surina berkata, bagi tahun ini, seramai 58,585 usahawan direkodkan menyertai program keusahawanan itu dengan jumlah jualan sekitar RM147 juta.

“Lebih menarik, kira-kira 20,653 usahawan daripada jumlah keseluruhan untuk tahun ini adalah belia dengan sumbangan jualan mencecah RM52.4 juta,” katanya.

Mengenai prospek tahun depan, beliau berkata, meskipun ekonomi dijangka kekal mencabar, industri e-dagang tidak berdepan masalah untuk mengekalkan pertumbuhan bersandarkan tumpuan usahawan yang lebih terarah kepada penawaran produk berasaskan pengguna.

“Walaupun ekonomi diramalkan kekal tidak menentu tahun depan, peluang untuk e-dagang atau eUsahawan berkembang masih luas selaras peralihan konsep perniagaan dan pembelian yang diamalkan oleh usahawan dan pelanggan.

“Kita akan terus melaksanakan program eUsahawan Hero Muda pada tahun depan tetapi dengan menerapkan konsep yang lebih bersepadu untuk menarik lebih ramai usahawan terutama mikro mentransformasikan perniagaan kepada konsep digital,” katanya.

Sementara itu, Sidang Kemuncak Hero Muda yang berlangsung di Pusat Dagangan dan Pameran Antarabangsa Malaysia (MITEC) berjaya menghimpunkan hampir 2,000 usahawan.

Program sehari itu antara lain untuk mewujudkan jaringan perniagaan, pendedahan ilmu perniagaan menerusi Facebook dan analisa terperinci mengenai trend digital terkini yang dijangka digunakan secara meluas tahun depan.

Berita Harian X