X
Isnin, 6 Januari 2020 | 4:31pm
Yeo Bee Yin berkata, sasaran 300MW pada masa ini dilihat agak kecil berbanding permintaan 18 gigawatt (GW) tenaga elektrik harian pengguna di negara ini. - NSTP/Rasul Azli Samad
Yeo Bee Yin berkata, sasaran 300MW pada masa ini dilihat agak kecil berbanding permintaan 18 gigawatt (GW) tenaga elektrik harian pengguna di negara ini. - NSTP/Rasul Azli Samad

Kuota NEM disasar meningkat sehingga 300 MW

JASIN: Kementerian Tenaga, Sains, Teknologi, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim (MESTECC) menyasarkan peningkatan kuota bagi pemeteran tenaga bersih baharu (NEM) kepada 300 megawatt (MW) tahun ini.

Menterinya, Yeo Bee Yin, berkata sasaran 300MW pada masa ini dilihat agak kecil berbanding permintaan 18 gigawatt (GW) tenaga elektrik harian pengguna di negara ini, justeru banyak usaha perlu dilakukan bagi meningkatkan penggunaan tenaga diperbaharui.

“Grid elektrik mampu bekalkan 24GW maka kita mampu tampung permintaan. Jika dilihat potensi tenaga solar daripada sudut teknikal, kita ada kira-kira empat juta bangunan boleh dipasang panel solar dan mampu hasilkan 37GW, ini mampu dicapai dengan kesedaran teknologi hijau,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas melancarkan projek 'Sistem Panel Solar Photovoltaic (PV) Bumbung 31 Megawatt dengan nilai pelaburan RM60juta di kilang Xinyi Group di Taman Industri Elkay, Lipat Kajang, dekat sini, hari ini.

Yang turut hadir, Pengerusi Jawatankuasa Perumahan, Kerajaan Tempatan, Alam Sekitar dan Teknologi Hijau negeri, Datuk Tey Kok Kiew; Ketua Pegawai Eksekutif SEDA, Dr Sanjayan Velautham; dan Pengarah Urusan Xinyi Malaysia, Datuk Liu Xiao Rong.

Bee Yin berkata, inisiatif mencapai sasaran itu akan dilakukan berdasarkan polisi baharu NEM selepas Pihak Berkuasa Pembangunan Tenaga Lestari (SEDA) meluluskan 102MW tahun lalu yang meningkat tiga kali ganda berbanding 27.8 MW bagi tempoh tiga tahun pada 2016 hingga 2018 dan ia mendapat sambutan permintaan menggalakkan.

“Bermula Januari tahun lalu, dengan pembaharuan polisi NEM kita guna asas satu-atas-satu iaitu beli tenaga elektrik 50 sen, kita jual 50 sen dan menyebabkan pelaburan projek NEM berbaloi dan kadar penyertaan tinggi iaitu 102MW tahun lalu,” katanya.

Sementara itu, Bee Yin berkata projek sistem panel solar PV yang juga projek terbesar NEM di negara ini dijangka mampu mengurangkan lebih 39,000 tan pengeluaran karbon dan penjimatan kia-kira RM15.9 juta kadar elektrik setahun.

Kabinet Malaysia 2020

Berita Harian X