Jumaat, 10 Januari 2020 | 8:12am
Pengerusi Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) Al-Ishsal Ishak ketika menyampaikan taklimat mengenai perkembangan mutakhir Projek-Projek Demonstrasi 5G di MCMC Tower, semalam. - Foto BERNAMA
Pengerusi Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) Al-Ishsal Ishak ketika menyampaikan taklimat mengenai perkembangan mutakhir Projek-Projek Demonstrasi 5G di MCMC Tower, semalam. - Foto BERNAMA

5G Malaysia tersedia dalam suku ketiga

CYBERJAYA: Malaysia sudah bersedia untuk melancarkan pengkomersilan teknologi generasi kelima (5G) pada suku ketiga tahun ini, kata Pengerusi Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM), Al-Ishsal Ishak.

Menurut beliau, pelaksanaan teknologi itu bukan saja akan mentakrifkan semula ketersambungan di negara ini tetapi akan membawa kesan positif kepada ekonomi dan memartabatkan Malaysia sebagai salah satu perintis 5G di rantau ASEAN.

"Pelaksanaan 5G agak berbeza dan aplikasinya menjangkau jauh daripada sekadar telefon pintar pengguna. 5G adalah untuk industri serta perniagaan. Sudah tentu, 5G juga tersedia untuk pengguna termasuk bagi akses tanpa wayar yang tetap," katanya semasa memberi taklimat media berhubung 5G di sini semalam.

Beliau ketika merujuk kepada penemuan Institut Penyelidikan Ekonomi Malaysia berhubung kesan pelaksanaan 5G ke atas ekonomi Malaysia, menjelaskan penggunaan teknologi itu akan menyumbang sehingga RM12.7 bilion antara 2021 dan 2025 kepada ekonomi negara serta mampu mewujudkan lebih daripada 39,000 pekerjaan baharu.

Ditanya jika pasaran tempatan masih memerlukan 4G, Al-Ishsal memberitahu ia akan kekal relevan untuk tempoh lima hingga 10 tahun akan datang dan tidak akan digantikan oleh 5G dalam tempoh terdekat.

Katanya, SKMM menerima 100 kes penggunaan yang dicadangkan kerajaan serta industri, yang mana 72 kes penggunaan akan dilancarkan di tapak 56 tapak 5G secara langsung di Kedah, Terengganu, Kuala Lumpur, Selangor, Perak dan Pulau Pinang di bawah sembilan segmen menegak merangkumi pertanian, pendidikan, hiburan/media, penjagaan kesihatan digital, pembuatan dan pemprosesan, minyak & gas, bandar pintar, pengangkutan pintar serta pelancongan.

SKMM, berserta pihak berkepentingan dan syarikat-syarikat seperti Celcom Axiata Bhd, DiGi Telecommunications Sdn Bhd, Maxis Broadband Sdn Bhd, Edotco Malaysia Sdn Bhd, Telekom Malaysia Bhd, U Mobile Sdn Bhd, Petroliam Nasional Bhd dan YTL Communications Sdn Bhd, sedang menjalankan projek demonstrasi 5G di enam negeri yang membabitkan pelaburan awal sebanyak RM143 juta.

Kata Al-Ishsal lagi, Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad dijadualkan merasmikan projek demonstrasi 5G Malaysia di Langkawi, Kedah, pada 19 Januari, membabitkan 11 penggunaan secara langsung di Pusat Arahan 5G Langkawi, Hospital Sultanah Maliha dan Lapangan Terbang Antarabangsa Langkawi.

"Sempena acara itu, SKMM juga akan menganjurkan Persidangan Antarabangsa 5G Malaysia di Langkawi pada 20 Januari bagi membincangkan perkembangan dan prospek pelaksanaan 5G," katanya. - BERNAMA

Berita Harian X