Jumaat, 17 Januari 2020 | 9:14pm
Ketua Pegawai Eksekutif KWSP, Tunku Alizakri Alias. - NSTP/Mohamad Shahril

Kekal pemilikan PLUS bukti kerajaan peka lindungi pencarum KWSP

KUALA LUMPUR: Pengekalan status pemilikan PLUS Malaysia Bhd (PLUS) membuktikan kerajaan peka terhadap keperluan melindungi kepentingan 14.6 juta ahli Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP).

Ketua Pegawai Eksekutif KWSP, Tunku Alizakri Alias, berkata pengurus dana persaraan pekerja swasta itu menyambut baik keputusan berkenaan dan arahan jelas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad mengenai masa depan PLUS.

Beliau berkata, keputusan itu sekali gus akan meredakan spekulasi yang lama berlarutan dan membolehkan semua pihak melangkah ke hadapan.

“Pengurangan kadar tol membawa manfaat kepada ahli KWSP yang juga sebahagian besar daripada 1.7 juta pengguna harian lebuh raya PLUS.

“Kami juga mengambil maklum permintaan kerajaan untuk melaksanakan pengurangan kadar tol sebanyak 18 peratus seawal 1 Februari 2020.

“Memandangkan tempoh masa yang singkat dan cabaran pelaksanaannya, kami akan bekerja rapat dengan PLUS dan pihak berkaitan untuk memenuhi permintaan berkenaan secepat mungkin,” katanya dalam satu kenyataan.

Tunku Alizakri berkata, KWSP juga berada dalam kedudukan unik sebagai pemegang Sukuk PLUS.

Oleh demikian, beliau berkata, KWSP akan bekerjasama dengan pemegang Sukuk yang lain untuk memastikan kepentingan bersama dilindungi.

“Berdasarkan pengalaman yang lalu, kami yakin kerajaan akan menerima baik input daripada kami dan bertindak dengan sewajarnya,” katanya.

Kemelut Kerajaan

Berita Harian X