Selasa, 21 Januari 2020 | 3:02pm

ATSB sasar teroka pasaran Asia Barat

KUALA LUMPUR: Penyedia peralatan perubatan, Arah Tenang Sdn Bhd (ATSB), meneroka pasaran Asia Barat di samping mengembangkan pasaran sedia adanya di Malaysia bagi mengukuhkan kedudukannya di Asia.

Ketua Pegawai Eksekutif ATSB, Noorirwandy Abdul Karim berkata, syarikatnya yang mengkhusus dalam produk implan ortopedik menjalin kerjasama strategik dengan syarikat pengeluar dari Asia Barat dan Asia untuk membekalkan produk terkini, inovatif dan berdaya saing.

“ATSB adalah wakil dan pengedar tempatan yang diberi kuasa untuk mengedar peralatan perubatan dari Amerika Syarikat, United Kingdom, Perancis dan Eropah.

“Syarikat kami juga menjalin kerjasama dengan pengeluar lain di Singapura, Indonesia, Brunei, Jepun, Qatar dan China.

“Kami menyasarkan kerjasama dengan agensi kerajaan dan peruncit tempatan. Kerjasama ini dijangka dilaksanakan menjelang suku kedua 2020,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Mengulas lanjut, Noorirwandy berkata, ATSB juga bakal mempelbagaikan cabang perniagaannya dengan mula meneroka pengeluaran produk penjagaan kesihatan.

Beliau berkata, ATSB memperuntuk lebih RM1 juta sehingga 2021 untuk tujuan pelaburan bagi mengukuhkan kedudukan syarikat dalam pasaran penjagaan kesihatan.

Berita Harian X